SEOUL, 8 JUN – Timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Wendy Sherman mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Korea Selatan dan Jepun hari ini, menekankan komitmen AS untuk mempertahankan sekutunya dan kerjasama keselamatan tiga hala untuk berdepan dengan ancaman nuklear Korea Utara yang semakin memuncak.
Pertemuan peringkat tertinggi terbaharu antara negara-negara berkenaan diadakan berikutan desakan jelas dari Korea Utara menjelang persediaan mereka dalam ujian senjata nuklear pertama dalam tempoh hampir lima tahun, yang menurut pegawai-pegawai AS ia mungkin diadakan dalam masa beberapa hari.
Sejurus pertemuan di Seoul, Sherman dan naib menteri luar Korea Selatan dan Jepun mengeluarkan kenyataan bersama menyelar provokasi berterusan Korea Utara dengan mendemonstrasikan senjatanya tahun ini dan menggesa kerjasama keselamatan lebih rapat untuk mengawal ancaman yang semakin memuncak.
Kenyataan menyatakan Sherman menegaskan komitmen AS yang ‘kukuh; untuk mempertahankan Korea Selatan dan Jepun, dan memberi jaminan untuk mempertahankan sekutunya dengan keupayaan ketenteraan secara penuh, termasuk ancaman nuklear.
“AS, Korea Selatan dan Jepun mempunyai pendirian yang sama mengenai DPRK,” kata Sherman semasa sidang media.
Sherman turut memberitahu Korea Utara telah meningkatkan pelancaran peluru balistiknya sejak September tahun lalu, sekali gus memberikan ‘ancaman serius’ kepada keselamatan di rantau itu dan seluruh dunia, serta menggesa Pyongyang untuk menghentikan ‘provokasi dan tindakan yang menjejaskan kestabilan serta beralih kepada rundingan diplomatik’.
Korea Utara telah merekodkan 31 pelancaran peluru balistik dalam 18 ujian, termasuk ujian peluru balistik antara benua yang pertama sejak 2017.
Kunjungan Sherman ke Asia diadakan sehari selepas Korea Utara melancarkan ujian peluru balistik besar-besaran ke laut dari beberapa buah lokasi pada Ahad lalu, menyebabkan AS dan sekutunya memberi tindak balas dengan mengadakan latihan peluru berpandu dan jet pejuang. – AP
