AS tembak jatuh dron Iran – Trump

WASHINGTON, 19 JULAI – Amerika Syarikat (AS) telah memusnahkan sebuah dron Iran di Selat Hormuz selepas ia didakwa mengancam sebuah kapal perang Amerika, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan Presiden Donald Trump pada Khamis.

Pesawat tanpa pemandu Iran itu telah ditembak jatuh oleh USS Boxer, sebuah kapal tempur amfibia milik Tentera Laut AS.

“USS Boxer telah mengambil tindakan mempertahankan diri terhadap sebuah dron Iran yang menghampirinya dengan begitu laju dalam jarak yang amat dekat iaitu kira-kira 1,000 ela tanpa menghiraukan pelbagai amaran untuk beredar serta mengancam keselamatan kapal tersebut dan krunya,” kata Trump di Rumah Putih. – Bernama

Gambar fail yang diambil pada 1 Mei 2019 menunjukkan kapal tempur amfibia milik Tentera Laut AS, USS Boxer di perairan San Diego, California. – AP