SEOUL, 18 Sept – AS menerbangkan empat buah jet pejuang senyap dan dua pengebom di semenanjung Korea hari ini bagi menunjukkan kekuatan berikutan ujian peluru berpandu dan nuklear terbaru Korea Utara baru-baru ini, menurut kementerian pertahanan Korea Selatan.
Empat jet pejuang senyap F-35B dan dua pengebom B-IB terbang di ruang udara semenanjung untuk ‘memperlihatkan kemampuan pencegahan perikatan AS-Korea Selatan ke atas ancaman peluru berpandu dan nuklear Korea Utara,” kementerian itu berkata dalam satu kenyataan.
Penerbangan itu adalah penerbangan pertama sejak Korea Utara melancarkan ujian nuklear keenamnya dan paling kuat pada 3 September dan melancarkan ujian peluru berpandu jarak sederhana di ruang udara Jepun Jumaat lalu, yang menambah lagi ketegangan serantau.
Beberapa buah jet AS terbang seiringan dengan empat buah jet pejuang Korea Selatan F-15K sebagai sebahagian dari latihan ‘rutin’, menurut kenyataan itu, dengan menambah kata sekutu-sekutu akan meneruskan latihan seumpama itu untuk ‘meningkatkan kemampuan operasi bersama mereka bagi peristiwa tidak dijangkakan.”
Penerbangan-penerbangan seumpamanya sebelumnya dilancarkan pada 31 Ogos.
AS meningkatkan tekanan ke atas Korea Utara, dengan dutanya ke PBB Nikki Haley, memberi amaran Pyongyang akan ‘dimusnahkan’ jika ia enggan menamatkan usaha senjatanya yang ‘semberono’.
Perkara itu dijangka mendominasi ucapan Presiden AS Donald Trump ke Perhimpunan Agung PBB dan pertemuannya dengan para pemimpin Korea Selatan dan Jepun minggu ini.
Ketegangan meletus lagi apabila rejim Kim Jong-Un melancarkan ujian apa yang diistilahkannya bom hidrogen yang kekuatannya berlipat ganda lagi dari bom sebelumnya. Korea Utara juga melancarkan peluru berpandu balistik di ruang udara Jepun dan ke Pasifik Jumaat lalu, sebagai memberi respons kepada sekatan baru PBB ekoran ujian nuklearnya yang nampaknya adalah pelancaran peluru berpandu paling jauh.
Trump dan Presiden Korea Utara Moon Jae-In berbual melalui telefon semalam dan berikrar akan memberikan ‘tekanan lebih kuat’ ke atas Korea Utara, dengan pejabat Moon memberi amaran bahawa provokasi seterusnya akan mengakibatkannya ‘pada laluan kecundang.’
Trump juga tidak menolak pilihan ketenteraan, yang mungkin mengakibatkan berjuta-juta orang di bandar Korea Selatan – dan 28,500 tentera AS yang ditempatkan di Korea Selatan terdedah pada kemungkinan serangan balas. – AFP