AS teruskan sumbang dana ke tabung WHO

GENEVA, 22 JAN – Amerika Syarikat (AS) kelmarin berkata ia akan terus menyumbangkan dana ke tabung kesihatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ketika Presiden Joe Biden beralih menumpukan kerjasama antarabangsa yang lebih besar dalam memerangi COVID-19, selepas melancarkan pakej rangsangan AS$1.9 trilion untuk mengatasi pandemik di negara itu.

Pada hari pertama menerajui AS, Biden mengesahkan bahawa beliau telah membatalkan keputusan bekas presiden Donald Trump untuk keluar dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Sementara pada hari kedua, ketua penasihat perubatan Biden, Anthony Fauci mengesahkan bahawa AS akan meneruskan sumbangannya yang besar ke dalam peruntukkan organisasi tersebut sekali gus membantu keperluan pakar kesihatan antarabangsa.

“Dalam keadaan yang mencabar, organisasi ini telah mengumpulkan komuniti saintifik dan penyelidikan serta pengembangan untuk mempercepat pengeluaran vaksin, terapi dan diagnostik,” kata Fauci pada pertemuan WHO melalui pautan video Biden merupakan pengkritik keras terhadap pendekatan Trump untuk menangani virus di AS, yang mana lebih daripada 400,000 orang maut dan AS merupakan negara yang paling teruk terjejas di dunia.

Presiden dipilih itu juga terus berusaha untuk memvaksinasi 100 juta orang dalam 100 hari, meningkatkan penggunaan penutup mulut dan hidung serta ujian, memperluas tenaga kerja kesihatan awam dan menawarkan lebih banyak bantuan kecemasan kepada mereka yang berjuang dengan sekatan tersebut.

“Selama hampir satu tahun sehingga kini, penduduk AS tidak dapat mencari strategi bersama dalam mengatasi penularan pandemik tersebut,” kata Jeff Zients, penyelaras pasukan petugas COVID-19 yang baharu.

Dengan peningkatan kadar jangkitan dan kempen vaksinasi masih di peringkat awal – dan dengan jumlah kematian global sekarang melebihi dua juta – negara-negara dari Lubnan hingga Sierra Leone telah mengetatkan sekatan mereka kelmarin. – AFP

Gambar fail pada 20 Januari lalu menunjukkan Biden meninggalkan pejabat selepas menghadiri upacara angkat sumpah pelantikannya di Rumah Putih. – AP