AS tidak mainkan peranan dalam proses damai

RAMALLAH, 19 NOV – Pihak Berkuasa Palestin (PA) mengutuk pengumuman Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Mike Pompeo hari ini yang menyebut bahawa petempatan Israel di Tebing Barat tidak lagi dianggap sebagai tidak sah, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik laporan agensi berita rasmi Wafa.

“Ia adalah batal dan tidak sah, dikutuk serta benar-benar bercanggah dengan undang-undang antarabangsa dan resolusi sah antarabangsa,” lapor Wafa yang memetik kenyataan jurucakap PA Nabil Abu Rudeina.

Menegaskan bahawa pentadbiran AS tidak layak atau diberi kuasa untuk membatalkan resolusi sah antarabangsa serta tidak mempunyai hak untuk memberi sebarang legitimasi kepada petempatan Israel, Abu Rudeina mengulangi bahawa pentadbiran AS telah hilang semua kredibiliti dan tidak lagi memainkan sebarang peranan dalam proses damai itu.

“Kami menganggap pentadbiran Amerika sebagai bertanggungjawab sepenuhnya bagi sebarang akibat susulan langkah berbahaya ini,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pembebasan Palestin (PLO) dan Ketua Perunding Palestin, Saeb Erekat berkata rakyat Palestin akan mengambil beberapa langkah untuk menentang langkah itu.

“Kami memulakan perbincangan di PBB untuk membentangkan resolusi draf di Majlis Keselamatan,” katanya hari ini. “Kami menjangkakan veto (AS) tetapi kami akan melakukannya. Biarkan Amerika Syarikat meletak undang-undang antarabangsa.

“Kami akan ke Perhimpunan Agung (PBB) dan kami akan meminta … Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk membuat siasatan kehakiman rasmi dengan pegawai Israel mengenai petempatan.”

Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Luar Israel, Israel Katz menyambut baik pengumuman Pompeo. Undang-undang antarabangsa menganggap Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur sebagai wilayah yang diduduki serta menyifatkan semua aktiviti pembinaan petempatan Israel di kawasan itu sebagai tidak sah. – Bernama/AFP

Setiausaha Agung Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan Ketua Perunding Palestin berucap semasa sidang media di Palestin. – AFP