AS tidak perlu lagi perintah berkurung

WASHINGTON, 19 JUN – Amerika Syarikat (AS) tidak perlu melaksanakan sekatan dengan meluas untuk mengawal COVID-19 memandangkan kadar jangkitan harian tidak berubah, menurut pakar kerajaan, Anthony Fauci.

Beliau yang juga doktor saintis yakin dunia akan memperoleh vaksin seawal mungkin yang akan mengakhiri pandemik itu, menyifatkan ujian awal sangat memberangsangkan.

“Saya rasa kami kini berusaha untuk mengawal dengan lebih baik kawasan-kawasan di negara ini yang mengalami banyak kes, bukannya untuk mengenakan lebih banyak sekatan.

“Negeri yang tidak terjejas teruk juga tidak mempunyai masalah untuk membuka semula sekolah. Namun, bagi yang mempunyai kes yang agak banyak, boleh melengahkan pembukaan sekolah.

“Bagi yang berada di pertengahan, boleh melakukan pengubahsuaian proses seperti sekolah berganti-ganti pagi dan petang, asingkan tempat duduk pelajar dan memakai penutup mulut dan hidung,” katanya.

Berkenaan pembukaan sempadan, beliau berkata wujud usaha untuk membuka sempadan berdasarkan beberapa normal baharu dengan negara lain, namun enggan memberikan jadual masa.

Sementara itu, ramai dalam kalangan komuniti saintis beranggapan sukar untuk mendapatkan vaksin COVID-19 yang disamakan seperti usaha untuk mendapatkan vaksin HIV yang mengambil masa berdekad-dekad lamanya.

Namun, Fauci menekankan bahawa ia adalah dua perkara berbeza berikutan ramai yang sudah pulih dari COVID-19 kerana sistem imunisasi yang kuat.

“Justeru, antibodi semula jadi ini membuktikan bahawa ia boleh dilakukan. Saya juga yakin dengan keputusan awal kajian vaksin Moderna oleh Institut Kesihatan Kebangsaan ke atas manusia, namun ia bukanlah keputusan muktamad,” katanya. – AFP