WASHINGTON, 20 Jun – Pentadbiran Donald Trump pada Selasa mengisytiharkan Amerika Syarikat (AS) tidak lagi menganggotai sebuah lagi badan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), apabila mengumumkan menarik diri dari Majlis Hak Asasi Manusia, lapor agensi berita Xinhua.
Wakil Tetap AS ke PBB, Nikki Haley (gambar) berkata, tindakan itu kerana majlis berkenaan gagal melaksanakan ‘perubahan besar, dramatik dan sistematik’ sebagaimana diingini AS.
“Seperti yang diberitahu setahun yang lalu, jika kita tidak melihat kemajuan, AS secara rasmi akan menarik diri,” kata Haley pada sidang akhbar bersama dengan Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo.
Beliau mendakwa majlis itu menjadi pelindung pencabul hak asasi selain sering menjadi sarang pembuat keputusan politik yang berat sebelah.
Selain itu, beliau turut melemparkan kritikan terhadap badan itu yang disifatkannya seolah berlagak baik dan mempunyai agenda peribadi dengan menerima keanggotaan negara yang tidak begitu baik nilai hak asasinya di samping memberi tumpuan tidak wajar serta berat sebelah ke atas kekejaman terhadap Israel.
Sebelum ini, AS turut menarik diri menganggotai pertubuhan antarabangsa dan perjanjian pelbagai negara antaranya perjanjian iklim Paris, agensi Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan PBB (UNESCO) serta perjanjian nuklear Iran.
Sejurus selepas pengumuman tersebut, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres melahirkan kekecewaannya terhadap keputusan AS itu. – Bernama