AS tolak pengiktirafan Presiden Maduro

WASHINGTON, 11 Jan – Amerika Syarikat (AS) semalam enggan mengiktiraf kesahan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro tatkala beliau memulakan penggal baharu dan menggesa pekerja kerajaan berpangkat rendah supaya memperkasa pihak pembangkang.

“AS tidak akan mengiktiraf pelantikan pemerintahan diktator Maduro,” kata Penasihat Keselamatan Negara, John Bolton di Twitter.

“Kami akan terus menambah tekanan ke atas rejim korup, menyokong Perhimpunan Nasional, dan menyeru demokrasi dan kebebasan di Venezuela,” tulis beliau.

Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo meminta rakyat Venezuela supaya tidak bekerja dengan Maduro tetapi dengan Perhimpunan Nasional, yang dikawal oleh pembangkang tetapi telah diketepikan oleh Perhimpunan Pengundi baharu yang ditubuhkan oleh kerajaan Maduro.

“Kami menggesa mereka yang menyokong rejim ini, daripada pekerja harian yang hidup dengan subsidi makanan kepada anggota keselamatan Venezuela yang berjanji akan menyokong perlembagaan, supaya menghentikan penindasan dan rasuah dan bekerjasama dengan Perhimpunan Nasional dan pemimpin yang dipilih, Juan Guaido, sejajar dengan perlembagaan untuk kembali kepada demokrasi,” kata Pompeo dalam satu kenyataan.

“Rakyat Venezuela dan komuniti antarabangsa akan ingat dan menilai perbuatan anda. Sekarang sudah tiba masanya untuk memujuk pemerintahan diktator Maduro untuk demokrasi kembali kepada Venezuela,” kata beliau.

“Setiausaha memperkukuh komitmen AS terhadap Perhimpunan Nasional, satu-satunya institusi sah di Venezuela, dan penubuhan semula demokrasi di Venezuela,” tambah seorang jurucakap Robert Palladino.

Maduro mengangkat sumpah untuk penggal enam tahun kedua di bawah kesuraman inflasi meningkat, kekurangan makanan asas dan ubat dan penghijrahan penduduk Venezuela ke negara jiran, ekoran pilihan raya yang diasingkan oleh pembangkang. – AFP