AS, Turki bincang isu S-400

WASHINGTON, 12 JUN – Pemangku Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS) Patrick Shanahan semalam berkata beliau akan membincangkan pertikaian Washington dengan Ankara berkaitan pembelian sistem pertahanan peluru berpandu S-400 Rusia oleh Turki dengan rakan sejawatnya dari negara itu, Hulusi Akar, lapor agensi berita Anadolu. 

Ditanya sama ada beliau menerima sebarang respons daripada Akar, Shanahan berkata kedua-dua pihak boleh mengemas kini perkembangan berhubung isu itu semasa perbualan telefon pada hari ini.

“Saya berharap esok kami akan dapat bertukar-tukar pandangan dan mendapatkan maklumat terkini mengenai kemajuan yang telah dicapai setakat ini,” katanya kepada pemberita.

Beliau membuat kenyataan itu menjelang pertemuannya dengan Menteri Pertahanan Poland Mariusz Blaszczak di Pentagon.

Shanahan berkata minggu lepas dalam sepucuk surat kepada Akar bahawa program latihan jet pejuang F-35 untuk juruterbang Turki akan berakhir pada 31 Julai, yang memberikan mereka masa yang cukup untuk melengkapkan latihan mereka.

Bagaimanapun, tindakan yang diambil Turki akan menyebabkan tempoh itu disingkatkan.

“Kami telah menangguhkan beberapa aktiviti dari segi latihan. Kami belum lagi menangguhkan sebarang aktiviti penyelenggaraan,” katanya.

Bagaimanapun, Pentagon semalam berkata Tentera Udara AS telah menghentikan latihan juruterbang Turki bagi mengendali F-35 yang sedang berlangsung sebelum tarikh yang ditetapkan atas alasan ‘keselamatan.’

Langkah itu adalah yang terkini dalam beberapa siri tindakan oleh AS untuk mengeluarkan Turki daripada program F-35 susulan kebuntuan dengan sekutu NATOnya itu berhubung pembelian sistem pertahanan S-400 Rusia. – Bernama