WASHINGTON, 22 APRIL – Amerika Syarikat (AS) akan membekalkan Ukraine dengan bantuan berjumlah AS$500 juta untuk membantu kerajaan di Kyiv meneruskan bayaran gaji, pencen dan menyediakan perkhidmatan asas, kata Setiausaha Perbendaharaan Janet Yellen semalam.
Yellen membutirkan bantuan selepas pertemuannya dengan Perdana Menteri Ukraine Denys Shmyhal dan Menteri Kewangan Sergiy Marchenko, berkata kerajaan mereka memerlukan bantuan untuk terus berfungsi di tengah serangan berterusan Rusia.
“Keperluan Ukraine adalah penting dan kami merancang menyalurkan bantuan ini kepada Ukraine secepat mungkin untuk digunakan ke atas keperluan terdesak,” kata Yellen.
“Kami tahu ia hanya permulaan mengenai apa yang diperlukan Ukraine untuk membina semula negara. Dan saya komited untuk bekerjasama dengan Kongres dan dengan sekutu antarabangsa kami untuk membangunkan negara dalam jangka sederhana dan panjang.” Menyampaikan ucapan kepada pemimpin Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia menerusi pautan video, Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky berkata negara memerlukan AS$7 bilion sebulan untuk berfungsi selepas ‘kerugian ekonomi’ yang dicetuskan oleh Rusia.
“Tentera Rusia menyasarkan untuk memusnahkan semua objek di Ukraine yang boleh berfungsi sebagai pusat ekonomi. Ia termasuk stesen kereta api, gudang makanan, minyak, kilang penapis,” katanya.
Bantuan AS menyusuli pakej sokongan berjumlah AS$500 juta yang ditawarkan Washington kepada Ukraine pada bulan lalu, dan keluar tatkala negara Barat bersama IMF dan Bank Dunia menambah bantuan kepada Kviv ketika pertempuran meletus di kawasan timur dan selatan negara.
Konflik itu akan menyebabkan ekonomi negara merosot 35 peratus pada tahun ini, kata IMF minggu ini, sementara ekonomi Rusia akan menyusut 8.5 peratus. – AFP