AS usir ribuan pendatang terkandas di jambatan Texas

DEL RIO, AMERIKA SYARIKAT, 19 SEPT – Amerika Syarikat (AS) akan meningkatkan pengusiran ribuan pendatang yang membanjiri bandar Del Rio, di sempadan Mexico ketika pihak berkuasa berusaha menangani krisis yang semakin meningkat bagi pentadbiran Presiden Joe Biden.

Pendatang yang kebanyakan dari Haiti berkumpul di Jambatan Antarabangsa Del Rio yang menghubungkan dengan Mexico, dikawal anggota Peronda Sempadan dan Kastam (CBP) AS. Rakaman video menunjukkan ribuan pendatang berada di bawah jambatan dan sekitarnya serta ramai lagi dilihat menyeberangi jambatan itu sambil membawa barang.

Datuk Bandar Del Rio, Bruno Lozano berkata terdapat lebih 14,000 pendatang yang ‘menunggu untuk ditahan’ sambil menyatakan kedua-dua pihak berkuasa tempatan dan persekutuan sudah menghantar kakitangan, bas dan pesawat sebagai sebahagian daripada operasi itu.

Pelabuhan masuk di Del Rio ditutup sementara dan lalu lintas dilencongkan bagi meredakan kesesakan disebabkan ramai berada di jambatan itu. Sementara itu, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) dalam kenyataannya berkata, pihaknya menyediakan pengangkutan tambahan dan meningkatkan kapasiti penerbangan pengusiran ke Haiti dan destinasi lain dalam tempoh 72 jam. – AFP

Pendatang Haiti menggunakan empangan untuk menyeberang ke Amerika Syarikat dari Mexico pada 18 September di Del Rio, Texas. – AP