AS wajibkan pelawat bayar visa AS$15,000

WASHINGTON, 26 NOV – Amerika Syarikat (AS) mewajibkan pelawat dari Iran, Myanmar dan beberapa negara Afrika membayar bon visa sehingga AS$15,000 dalam langkah imigresen baharu yang digubal pada akhir penggal presiden Donald Trump.

Peraturan itu berkuat kuasa 24 Disember untuk tempoh enam bulan, walaupun masih tidak pasti sama ada ia akan dikekalkan oleh Presiden dipilih Joe Biden, yang menerajui tampuk pentadbiran pada 20 Januari.

Program perintis itu bertujuan membayar kos menghantar balik warga asing yang tinggal melebihi tempoh, menurut notis yang dikeluarkan pada Selasa dalam Daftar Persekutuan oleh Carl Risch, penolong setiausaha negara untuk hal ehwal konsul.

Pelawat visa ‘B’, yang dikeluarkan untuk perniagaan dan pelancongan jangka pendek, akan diminta membayar sehingga AS$15,000, yang akan diambil oleh agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam jika mereka gagal membuktikan mereka telah meninggalkan negara tepat pada masanya.

Peraturan itu akan membabitkan rakyat dari 23 negara yang, menurut deklarasi, mempunyai kadar pemastautin melebihi tempoh lebih daripada 10 peratus. – AFP