AS$1.5 Bilion bantu ekonomi Thailand akibat koronavirus

BANGKOK, 4 OGOS – Bank Pembangunan Asia (ADB) hari ini mengumumkan akan memberikan pinjaman AS$1.5 bilion kepada Thailand untuk membantu negara itu menghadapi kemerosotan ekonomi akibat wabak koronavirus.

Kabinet Thailand meluluskan rancangan peminjaman pada mesyuarat mingguannya, kata wakil jurucakap kerajaan Ratchada Thanadirek secara berasingan. Perjanjian pinjaman dijangka ditandatangani oleh wakil bank pelbagai hala dan Kementerian Kewangan Thailand pada akhir bulan ini.

Pinjaman tersebut diberikan di bawah Program Sokongan Aktif dan Perbelanjaan COVID-19 ADB.

“Ini akan membantu memulihkan pertumbuhan dan menetapkan tahap operasi sektor swasta yang disasarkan oleh ADB untuk menyokong pemulihan pasca-COVID-19 kerajaan, terutamanya dalam infrastruktur, perdagangan, dan kewangan,” kata bank itu dalam satu kenyataan.

Faedah pinjaman ditetapkan pada kadar LIBOR enam bulan dengan 0.5 peratus. Sebagai tambahan, Thailand perlu membayar 0.15 peratus setiap tahun sebagai bayaran komitmen, yang telah termaktub dalam syarat pinjaman.

“Pinjaman itu adalah sebahagian daripada skim 1.9 trilion baht (AS$61.1 bilion) yang dipersetujui sebelumnya untuk merangsang ekonomi Thailand,” kata Ratchada.

“Pasaran kewangan tempatan akan lebih stabil dalam waktu terdekat. Perniagaan tempatan akan memohon lebih banyak pinjaman untuk mengatasi kesukaran yang mereka hadapi, sementara itu kerajaan juga perlu mengambil tindakan untuk meningkatkan ekonomi tempatan.”

Katanya, nisbah hutang mata wang asing kerajaan dengan jumlah hutang awam masih rendah. Oleh itu, Kementerian Kewangan mengusulkan rancangan tersebut agar kerajaan sentiasa mempunyai peruntukan sekali gus dapat membantu sektor swasta yang memerlukan wang tunai.

ADB mengatakan ia meramalkan bahawa ekonomi Thailand akan menyusut sebanyak 6.5 peratus pada tahun 2020, berbanding dengan unjuran pertumbuhan pada Disember 2019 sebanyak 3 peratus.

“Komitmen ADB dalam memberikan sokongan kepada ekonomi Thailand adalah tepat pada masanya, sekali gus dapat mengurangkan impak daripada wabak itu,” kata Presiden ADB Masatsugu Asakawa dalam kenyataan bank itu.– AP