AS$10 bilion untuk ekonomi

BANGKOK, 16 OGOS – Thailand akan memperuntukkan lebih daripada AS$10 bilion ke dalam ekonominya, kata kementerian kewangan hari ini, tatkala kerajaan baharu sedang berusaha untuk memperkembangkan ekonominya selepas lima tahun pemerintahan junta.

Ekonomi Asia Tenggara merosot selepas insiden rampasan kuasa 2014 dan pertumbuhan perlahan kepada 2.8 peratus pada suku pertama tahun ini, kali pertama ia merosot di bawah kadar tiga peratus sejak pertengahan 2015, menurut Bank Dunia.

Para jeneral yang merampas kuasa menggerakkan peralihan kepada pemerintahan awam selepas pilihan raya yang dipertikaikan pada bulan Mac tetapi berada di bawah tekanan untuk mengembangkan ekonomi melalui skim pelaburan yang bercita-cita tinggi dan mewujudkan pekerjaan di tengah-tengah kelembapan global dan ketegangan perdagangan AS-China.

Lonjakan baht Thailand juga menghalang pemulihan dengan menimbang daya saing eksport dan pelancongan. Anggaran 316 bilion baht (AS$10.2 bilion) akan diperuntukkan untuk ‘langkah-langkah rangsangan ekonomi yang mendesak’, kata kementerian kewangan, sambil menambah bahawa cadangan itu memerlukan kelulusan muktamad dari kabinet.

“Ia dijangka akan mendorong ekonomi Thailand ke arah pertumbuhan KDNK sebanyak tiga peratus,” kata kenyataan itu.

Peruntukan itu termasuk bantuan untuk lebih 900,000 petani yang terjejas akibat kemarau, sumbangan 1,000 baht (AS$30) untuk perbelanjaan berkaitan pelancongan, pinjaman untuk perniagaan kecil dan lain-lain lagi. Sektor pelancongan merupakan antara sumber pendapatan terpenting. Pengecualian visa percuma untuk pelancong China dan India juga merupakan sebahagian daripada cadangan baharu. – AFP

Gambar fail yang tidak bertarikh menunjukkan pemandangan umum pusat perniagaan di ibu kota Bangkok. Thailand akan memperuntukkan lebih daripada AS$10 bilion ke dalam ekonominya, kata kementerian kewangan negara itu, kelmarin. – AFP