AS$10 juta ditawarkan untuk maklumat campur tangan asing

KUALA LUMPUR, 6 OGOS – Jabatan Luar Negeri Amerika Syarikat (AS) kelmarin menawarkan ganjaran sehingga AS$10 juta untuk maklumat sehingga dapat mengesan dan mengenal pasti mereka yang bekerja dengan atau untuk kerajaan asing, bertujuan mengganggu pilihan raya AS, melalui aktiviti siber haram.

Ganjaran yang ditawarkan di bawah Program Rewards for Justice (RFJ) itu, bertujuan untuk mengesan dan kenal pasti mana-mana individu yang bertindak atas arahan atau di bawah kawalan kerajaan asing, mencampuri mana-mana pilihan raya persekutuan, negeri atau tempatan dengan membantu atau bersubahat, melakukan pelanggaran di bawah seksyen 1030 bab 18, berkaitan penipuan dan penyalahgunaan komputer.

“Orang yang terlibat dalam operasi siber yang mempunyai niat jahat untuk menyasarkan pilihan raya atau infrastruktur kempen boleh didakwa di bawah Akta Penipuan dan Penyalahgunaan Komputer,” kata jurucakap pejabat Jabatan Negara AS menerusi kenyataan media yang disiarkan di laman webnya.

Akta itu juga melarang akses komputer untuk mendapatkan maklumat tanpa kebenaran dan menyebarkannya kepada penerima yang tidak dibenarkan. – Bernama