KAHERAH, 25 MEI – Bank Dunia kelmarin berkata ia telah memperuntukkan AS$2 bilion untuk Sudan ketika kerajaan peralihan telah berjuang untuk mengatasi masalah ekonomi selama puluhan tahun di negara itu.
Dana itu akan digunakan untuk membiayai projek infrastruktur besar dan membantu pelarian dalam 12 bulan ke depan, kata Hafez Ghanem, naib presiden Bank Dunia untuk timur dan selatan Afrika.
Ghanem berada di Khartoum kelmarin di mana beliau telah bertemu dengan Perdana Menteri Abdalla Hamdok dan Menteri Kewangan Gibril Ibrahim, menurut pejabat perdana menteri.
Pengumuman itu dibuat sekitar dua bulan selepas Sudan menyelesaikan semua pembayaran tertunggaknya kepada Bank Dunia.
Langkah itu telah memberi kerajaan peralihan di Khartoum akses kepada jenis pembiayaan antarabangsa baharu untuk pertama kalinya selepas hampir tiga dekad.
Bank Dunia berkata bahawa pembayaran itu dibuat setelah Amerika Syarikat (AS) memberikan pembiayaan tambahan sebanyak AS$1.15 bilion untuk membantu Sudan menyelesaikan hutangnya yang tertunggak. – AP