AS$29b tangani kemerosotan Ekonomi akibat koronavirus

SEOUL, 3 JUN – Korea Selatan hari ini mengusulkan pakej rangsangan terbesarnya bagi menangani kemerosotan teruk ekonomi yang tercetus akibat COVID-19.

Virus itu mengakibatkan penguncupan ekonomi terbesar ke-12 dunia dengan 1.3 peratus sepanjang Januari hingga Mac, iaitu kemerosotan terbesar dalam hasil domestik sejak krisis kewa-ngan global pada 2008.

Pakej bernilai 35.3 trilion won (AS$29 bilion) adalah yang ketiga diumumkan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in berhubung tindak balas terhadap virus itu, mengumumkan 11.7 trilion won dan 12.2 trilion won pada Mac dan April lalu.

Kemungkinan besar peruntukan itu akan disahkan Parlimen, di mana parti Demokrat Moon mempunyai keseluruhan majoriti.

Kementerian Kewangan berkata, peruntukan itu bertujuan mewujudkan 550,000 peluang pekerjaan, menyediakan dana kecemasan kepada pemilik perniagaan dan perusahaan kecil dan sederhana yang terkesan wabak itu serta hampir 10 trilion won (AS$8.2 bilion) bagi meningkatkan jaringan kerja dan keselamatan sosial.

Beberapa penduduk tempatan menggunakan penutup mulut dan hidung ketika melalui kawasan kompleks membeli-belah di Seoul, kelmarin. Korea Selatan telah mengusulkan pakej rangsangan terbesarnya bagi menangani kemerosotan teruk ekonomi yang tercetus akibat COVID-19. – AFP

Kata kementerian itu, lebih dua pertiga daripada pakej rangsangan ekonomi itu adalah pencairan bon negara, sementara selebihnya dibiayai melalui penyesuaian perbelanjaan kerajaan.

Korea Selatan adalah negara terawal dan paling buruk dilanda wabak COVID-19 di luar China, bagaimanapun tidak pernah melaksanakan perintah berkurung wajib, namun menekankan penjarakan sosial ketat yang dipantau secara meluas sejak Mac lalu sebelum sekatan itu mula dilonggarkan bulan lalu. Minggu lalu, Bank of Korea meramalkan ekonomi akan menyusut 0.2 peratus bagi tahun 2020, iaitu mencatatkan penurunan dramatik dari ramalan pertumbuhan 2.1 peratus pada Februari sekali gus dan menurunkan kadar faedah kepada paras terendah.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menjangkakan ekonomi dunia akan menguncup kira-kira tiga peratus tahun ini, dengan menjangkakan kemelesetan ekonomi terburuk sejak ‘Great Depression’ akibat wabak itu.

IMF meramalkan ekonomi Korea Selatan akan menyusut 1.2 peratus tahun ini. – AFP