AS$90b diperlukan lindungi kebajikan penduduk miskin

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU, 28 APRIL – Ketua Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) kelmarin berkata peruntukan AS$90 bilion boleh memberikan sokongan pendapatan, makanan dan tindak balas kesihatan terhadap wabak koronavirus untuk 700 juta penduduk miskin di dunia yang terjejas – dengan kadar hanya 1 peratus daripada rangsangan AS$8 trilion pakej 20 negara terkaya yang disediakan untuk melindungi ekonomi global.

Mark Lowcock memberitahu semasa persidangan video bahawa kebanyakan pakar bersetuju bahawa tahap wabak COVID-19 belum mencapai bahagian termiskin di dunia, tetapi mungkin akan memuncak dalam tiga hingga enam bulan ke depan.

Kira-kira 700 juta orang iaitu 10 peratus penduduk dunia yang terjejas, jelasnya, tertumpu di sekitar 30 hingga 40 negara yang sudah menerima bantuan kemanusiaan dan akan melihat penurunan pendapatan yang besar ketika virus menular dan pemerintah mengenakan langkah-langkah sekatan dan lockdown.

“Sekiranya anda ingin melindungi mereka dari segi pendapatan, maka mungkin dengan sekitar AS$60 bilion, anda boleh melakukannya,” kata Lowcock.

Tambahnya, dengan anggaran peruntukan AS$30 bilion, mereka yang menghadapi ancaman kelaparan akan memperoleh makanan dan respons kesihatan terhadap COVID-19 dapat dibiayai.

Beberapa orang sukarelawan ketika membawa bekalan bantuan makanan untuk dihulurkan kepada masyarakat El Indio, utama Lima. Ketua Hal Ehwal Kemanusiaan PBB kelmarin berkata bahawa AS$90 bilion boleh memberikan sokongan pendapatan, makanan dan tindak balas kesihatan terhadap wabak koronavirus untuk 700 juta penduduk miskin di dunia yang terjejas. – AFP

Lowcock mengatakan mungkin dua pertiga daripada AS$90 bilion itu boleh diperoleh daripada peruntukan dari institusi kewangan antarabangsa se-perti Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa.

“Mereka perlu mengubah syarat di mana mereka perlu memberikan bantuan kepada beberapa orang,” katanya. “Jadi, misalnya, mereka perlu mengurangkan suku daripada bayaran bunga dan memberikan sedikit kelonggaran.”

Lowcock berkata, baki satu pertiga lagi dapat digunakan untuk tujuan pembangunan dalam negara terjejas.

Dia berkata bahawa dengan mengurangkan kelonggaran 20 peratus daripada pinjaman dapat mengelakkan masalah yang akan dihadapi 10 tahun mendatang.

“AS$90 bilion mungkin jumlah yang banyak tetapi ia merupakan peruntukan yang berpatutan,” katanya.

PBB tidak akan merayu untuk bantuan AS$90 bilion, kata Lowcock, tetapi “apa yang saya sarankan adalah wang sejumlah itu dapat digunakan untuk membendung kehilangan nyawa akibat wabak tersebut.” Setiausaha Jeneral PBB Antonio Guterres membuat rayuan bagi AS$2 bilion pada 25 Mac lalu untuk membantu negara-negara yang terjejas di Timur Tengah, Asia, Afrika dan Amerika Selatan dalam menangani penularan wabak koronavirus. – AP