As’ad menyepi dari dunia hiburan

Penyanyi remaja, As’ad Motawh, 19, berdepan dengan beberapa kisah sensasi ketika menyertai siri jelajah The Percaya Tour, tahun lalu.

Antaranya, As’ad ditarik peminat ketika mengadakan persembahan di Sabah hingga menyebabkannya ter-jatuh daripada pentas dan mengalami kecederaan serta bengkak di beberapa bahagian badan.

Tindakan seorang wanita meluru dan memeluk ketika penyanyi lagu Senyum itu sedang mengadakan persembahan di pusat membeli-belah di Petaling Jaya menjadi bualan hangat pada Mac tahun lalu.

Bagaimanapun, As’ad atau nama sebenarnya, As’ad Ahmad Muhammad Motawh dituduh merancang gimik yang berlaku dalam siri jelajahnya demi mencetuskan sensasi dan melonjakkan namanya. Sejak itu, kerjaya seni penyanyi kelahiran Selangor itu bergerak cukup perlahan.

Jejaka kacukan Melayu-Arab itu juga dilihat kurang aktif dalam laman sosial dan dilihat lebih banyak menyanyikan lagu saduran, tetapi tiada projek single terbaharu.

Sepanjang tempoh menyepikan diri, As’ad Motawh berusaha memperbaiki kekurangan terutama dari aspek persembahan, interaksi dan cara nyanyian. – Agensi

“Sejujurnya, saya sengaja memilih memperlahankan aktiviti seni selepas siri jelajah berkenaan. Saya sedar banyak kekurangan dan perlu memperbaiki diri.

“Sepanjang tempoh menyepikan diri, saya berusaha memperbaiki kekurangan terutama dari aspek persembahan, interaksi dan cara nyanyian.

“Saya tak merajuk, tetapi saya mendiamkan diri kerana ingin memperbaiki diri. Saya mahu menjadi penghibur yang baik,” katanya kepada media.

As’ad berkata, tiada sebab untuknya memperlahankan kerjaya seni atau sengaja menghilangkan diri.

“Saya membuat keputusan memperlahankan rentak kerana ingin meluangkan masa bersama keluarga dan rakan. Selain itu, saya dan syarikat pengurusan terbaharu, Xeno Entertainment kini sedang merancang projek terbaharu. Bagaimanapun, biarlah perancangan menjadi rahsia terlebih dahulu.

“Selepas bertukar pengurusan setahun lalu, keutamaan adalah rangka kerja bersama. Insya-Allah, apabila tiba masanya dan projek selesai, saya akan kongsi,” katanya.

Katanya, setakat ini, dirinya tidak terkesan akibat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Walaupun tiada undangan nyanyian, saya masih mempunyai peralatan

muzik di rumah. Jadi, saya dapat menyiapkan beberapa kempen yang berkaitan COVID-19 serta projek jenama tertentu.

“Saya dan syarikat pengurusan juga tidak boleh mendedahkan projek yang diusahakan kerana masih belum kukuh. Apapun, saya tidak sabar kembali bertemu peminat dengan projek terbaharu,” katanya. – Agensi