Oleh Mohamad Asyramisyanie
Gambar oleh Dean Kassim
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jan – Pasukan Brunei DPMM FC berharap dapat memanfaatkan potensi daripada beberapa pemain muda selepas proses pemilihan untuk pemain bawah usia 18 tahun dijalankan di Stadium Mini Jerudong.
Sekitar 25 pemain muda telah dipilih daripada 152 calon berdaftar di bawah pengawasan seorang panel yang terdiri daripada Ketua Jurulatih Pasukan Brunei DPMM FC, Steve Kean dan anggota pasukan.
Berkenan menyaksikan pemilihan itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah.
Menurut Pengurus Pasukan Brunei DPMM FC, Mohammad Ali bin Haji Momin, pemain bawah umur 18 tahun telah dinilai semasa proses ujian pemilihan terbuka di mana mereka melalui pelbagai peringkat ujian kemahiran seperti teknik, keupayaan kecergasan, taktik dan sikap.
“Pemain yang dipilih kemudian akan menjalani latihan dengan jurulatih profesional Steve Kean, yang merupakan seorang jurulatih berpengalaman luas dalam Liga Perdana Inggeris dengan memberikan mereka peluang keemasan untuk mendapat pendedahan dan pengalaman dalam latihan profesional,” kata Mohammad Ali.



“Sudah tentu seperti proses pemilihan sebelum ini, kami mahu mengenal pasti kemahiran pemain yang mempunyai potensi dan menyediakan mereka dengan latihan awal. Kemudian, jika mereka berjaya membuktikan potensi diri, mereka boleh diserap ke dalam kelab bola sepak apabila sudah bersedia.”
Beliau berkata, pihaknya juga sedang mengkaji kemahiran semula jadi dan bakat pemain muda yang akan menjalani latihan dua kali seminggu pada waktu malam.
Pengurus pasukan itu berkata, walaupun hanya 25 pemain telah dipilih semalam, mereka masih lagi mencari bakat-bakat muda lain yang mempunyai potensi dalam permainan bola sepak.
Acara pemilihan terbuka pemain lelaki di bawah umur 18 telah menarik minat para belia dari keempat-empat buah daerah dengan calon paling muda berusia 14 tahun.