Asah kemahiran asas

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Mac – Sebagai sebahagian daripada Program Inovasi Belia Berwawasan (PIBB), sesi taklimat mengenai Kemahiran Asas Pekerjaan bagi para peserta telah diadakan di One Stop Centre, Politeknik Brunei, Jalan Ong Sum Ping, di sini, hari ini.

Taklimat pengenalan tersebut telah disampaikan oleh Pemangku Ketua Pusat Perkembangan dan Inovasi Pelajar, Politeknik Brunei, Haji Ehwan bin Haji Juned.

Hadir sebagai tetamu khas ialah Pemangku Penolong Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dayang Norzaridah binti Haji Zainal. Turut hadir ialah Pendaftar dan Setiausaha, Politeknik Brunei, Hajah Hanipah binti Haji Apong.

Menurut kenyataan Politeknik Brunei, Kursus Kemahiran Asas Pekerjaan, yang merupakan Fasa Kedua PIBB yang akan dijalankan di Politeknik Brunei selama 10 minggu akan memberi kesempatan bagi peserta-peserta mengikuti pembelajaran dalam kelas bersama mentor-mentor yang terdiri daripada pelajar-pelajar Politeknik Brunei sendiri.

Antara kemahiran asas yang akan dipelajari secara praktikal oleh peserta ialah penggunaan Microsoft Word, Excel dan PowerPoint, kelas kemahiran berkomunikasi dan perkeranian serta kemahiran abad ke-21 yang perlu ada pada setiap pencari pekerjaan dan juga kemahiran yang diperlukan oleh majikan.

Gambar ramai peserta bersama penyampai taklimat dan tetamu undangan.
Antara belia yang mengikuti taklimat tersebut.

PIBB merupakan program yang dibangunkan bersama Pusat Perkembangan dan Inovasi Pelajar, Politeknik Brunei dan JAPEM, KKBS.

Tujuan utama program adalah bagi memperkasa belia khususnya peserta PIBB melalui pendekatan holistik bermula dengan penghijrahan minda, memperlengkapkan mereka dengan kemahiran-kemahiran asas abad ke-21 serta program yang menjurus kepada pengukuhan akhlak dan ke-peribadian.

Para peserta program terdiri daripada belia daripada keluarga di bawah skim bantuan JAPEM dan program berkenaan dihasratkan agar dapat mengubah peserta menjadi belia yang lebih bertanggungjawab dan lebih berwawasan bagi memperbaiki kehidupan mereka dan keluarga.

Program berkenaan pertama kali dilancarkan pada November 2016 di mana kumpulan pertama seramai 13 belia telah terpilih untuk mengikutinya dan tujuh daripadanya telah pun mendapatkan pekerjaan manakala itu, dua peserta bekerja sendiri.

Tahun ini merupakan tahun kedua ia dijalankan di mana tujuh orang peserta telah terpilih bagi mengikutinya.

Pada fasa pertama program iaitu Fasa Penghijrahan Minda, para peserta telah mengikuti Program Khidmat Bakti Negara selama 16 minggu bermula 3 Disember 2017 hingga Mac 2018.