Asah kemahiran marsyal bomba

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OGOS – Seramai 21 kakitangan Rentokil Initial (B) Sdn Bhd, Eco-State Management dan Koperasi Rimbun Berhad baru-baru ini menjalani Latihan Marsyal Bomba di bawah bimbingan dan pemantauan Bahagian Perhubungan Awam Cawangan Operasi A Jabatan Bomba dan Penyelamat di 118 Residence.

Menurut kenyataan dikeluarkan Rentokil di sini hari ini, latihan diselaraskan itu menguji kemahiran peserta mengendalikan kebakaran dan kecemasan lain semasa pengosongan di tempat kerja. Ia juga menyaksikan peserta mengalami sendiri kecemasan di tapak sebenar dalam lakonan semula.

Latihan juga melengkapkan peserta dengan teori garis panduan menyelamatkan nyawa dan prosedur meminimumkan pendedahan risiko semasa kecemasan serta latihan praktikal penggunaan betul alat pemadam kebakaran dan selimut.

Peserta cemerlang dalam ujian teori turut diberikan penghargaan manakala pelatih dari Jabatan Bomba dan Penyelamat juga menerima penghargaan atas usaha mereka melatih orang awam ke arah membudayakan keselamatan, meningkatkan kesedaran bahaya kebakaran dan membina semangat berpasukan.

Eco-State menghantar 11 orang peserta bagi latihan itu manakala Rentokil yang hampir setiap tahun menghantar kakitangannya menjalani latihan itu, menghantar 10 orang peserta tahun ini.

Gambar ramai kakitangan Rentokil dan Eco-State semasa Latihan Marsyal Bomba di 118 Residence.
Antara peserta yang mengambil bahagian dalam salah satu aktiviti yang diadakan.