Asah kemahiran pendidikan

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MAC – Seramai 20 orang kakitangan dari pelbagai jabatan dan bahagian Kementerian Pendidikan menghadiri kursus singkat bertajuk Data Analytics Fundamental for Education anjuran Sekolah Pengkomputeran dan Informatik (SCI) Universiti Teknologi Brunei (UTB) di dewan teater universiti itu baru-baru ini.

Penolong Profesor SCI, Dr Asem Kasem menjadi fasilitator kursus yang antara lainnya membincangkan sedikit sebanyak mengenai sumber data pendidikan dunia sebenar dan analitis pembelajaran melalui kajian kes dan pendekatannya dengan peserta serta mempelajari kaedah lazim mengutarakannya serta mentafsir keputusan untuk tindakan
lanjut.

Menerusi kursus itu, beliau turut memperkenalkan konsep asas data analitis dan mengetengahkan pelbagai penggunaan data analitis dalam sektor pendidikan.

Peserta juga didedahkan bagaimana dan bila menggunakan kaedah utama bagi mendapatkan sumber data pendidikan, mempelajari analitis dan peralatan yang sering digunakan.

Kursus berakhir dengan penyampaian sijil oleh Pendaftar dan Setiausaha UTB, Lim Chui Hua kepada para peserta.

Para peserta bergambar ramai bersama Dr Asem Kasem dan Lim Chui Hua. – Gambar serahan UTB