Asah kepimpinan belia

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mei – Konvensyen Pemimpin Muda Brunei merupakan sebuah platform dalam sama-sama memobilisasikan belia supaya mempunyai perasaan kebersamaan dan kepunyaan serta memainkan peranan aktif dalam mencapai Wawasan Brunei 2035.

Konvensyen kali kedua yang dijangka berlangsung pada Ogos depan itu dihasratkan untuk menyatukan agensi-agensi yang berkepentingan sama ada dari kerajaan, swasta, masyarakat dan belia, selain itu, ia juga akan menyampaikan maklumat yang tetap dan terkini mengenai Wawasan Brunei 2035.

Perkara berkenaan telah dijelaskan semasa sidang media di Pusat Belia di ibu negara, hari ini, bersama tiga orang usahawan muda iaitu wakil dari Prespective Insan Academy, Al-Huffaz Management dan Generasi Berkarih dengan dipengerusikan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad. Di samping menyediakan platform bagi belia untuk mengungkayahkan program dan projek yang akan membantu mencapai wawasan 2035, konvensyen kali ini membawa moto B.E.L.I.A, yang antara lain merangkumi ‘Believe’ bererti percaya akan kemampuan belia dalam mencapai wawasan 2035 di samping ‘Empower’ iaitu menyokong, membimbing dan menasihati dan ‘Act’ iaitu tindakan yang perlu diambil oleh belia untuk mengungkayahkan program atau projek selaras dengan wawasan negara.

Diadakan bermula pada 6 hingga 8 Ogos di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, konvensyen itu dijangka dihadiri lebih 200 orang pemimpin muda yang terdiri daripada belia majlis perwakilan pelajar, penuntut cemerlang, pertubuhan bukan kerajaan, graduan dan pencari pekerjaan, eksekutif muda dan belia cemerlang dalam bidang masing-masing.

Sepanjang konvensyen tersebut, pemimpin belia yang hadir juga akan berpeluang mendapatkan maklumat terkini mengenai Wawasan Brunei 2035, membina rangkaian kerja dan berinteraksi dengan mentor terpilih melalui forum yang membawakan topik berkaitan dengan Wawasan Brunei 2035 serta menimba ilmu mengenai pengungkayahan projek.

Sehubungan itu, belia yang berminat untuk menyertai BYLC, pendaftaran boleh dibuat melalui laman sesawang www.bylconvention.com dan pendaftaran dibuka bermula esok hingga 13 Julai.

Untuk keterangan lanjut mengenai BYLC, orang ramai boleh melayari lawan sesawang tersebut atau melalui laman social.

Yang Berhormat Awang Iswandy ketika memberikan penerangan semasa sidang media berkenaan. – Gambar oleh Rahwani Zahari