Asal-usul COVID-19, Beijing tolak desakan WHO

BEIJING, 13 OGOS – China hari ini menolak desakan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk memperbaharui siasatan terhadap asal-usul COVID-19.

Beijing menegaskan, pihaknya menyokong usaha ‘saintifik’ berbanding ‘politik’ untuk mengenal pasti bagaimana virus itu tercetus.

China sekali lagi berdepan tekanan agar mempertimbangkan siasatan baharu asal-usul pandemik itu yang telah mengorbankan lebih 4 juta orang dan melumpuhkan ekonomi di seluruh dunia sejak kali pertama dikesan di Wuhan.

Januari lalu, sepasukan pakar antarabangsa WHO berlepas ke Wuhan sebelum mengeluarkan laporan siasatan fasa pertama dihasilkan bersama rakan sejawat di China.

Namun, laporan terbabit gagal menggariskan rumusan konklusif mengenai bagaimana virus itu tercetus.

Semalam, WHO mendesak China berkongsi data mentah daripada kes COVID-19 yang terawal dikesan, bagi memperbaharui siasatan mengenai punca wabak itu.

Namun, China mengulangi pendiriannya bahawa siasatan awal sudah mencukupi, malah mendakwa gesaan untuk data lebih lanjut adalah didorong oleh politik dan bukan siasatan saintifik.

“Kami membantah pengesanan politik… serta pengabaian laporan bersama yang dikeluarkan selepas lawatan pakar WHO ke Wuhan pada Januari lalu.

“Kami menyokong pengesanan saintifik,” kata Naib Menteri Luar, Ma Zhaoxu, kepada pemberita. – AFP