Asap tebal jejas pengguna jalan raya

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OKT – Kepulan asap tebal telah menyelubungi jalan raya dan menyebabkan terhadnya jarak penglihatan bagi para pengguna jalan raya dalam kejadian kebakaran hutan berdekatan Loji Penapisan Air Seria, petang kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Cawangan Operasi B, Daerah Belait, di sini, panggilan bagi kejadian kebakaran hutan itu diterima pada pukul 1:33 petang dan dua buah jentera bersama-sama 10 orang anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Seria yang diketuai oleh SO Ajak bin Haji Jais dikejarkan ke tempat kejadian.

Kenyataan menjelaskan bahawa setelah tiba di tempat kejadian, anggota yang bertugas mendapati kebakaran hutan yang bertompok-tompok telah melarat hingga berdekatan lebuh raya KM 102-102 Seria Lumut Bypass dan menyebabkan asap tebal menyelubungi jalan raya.

Kenyataan turut menyatakan bahawa anggaran keluasan kawasan kebakaran yang dapat dipadamkan adalah kira-kira 10 hektar di atas tanah kerajaan.

Anggota bomba dan penyelamat yang bertugas bertindak untuk memadamkan kebakaran menggunakan tangga bagi menyeberang longkang serta mengeluarkan lapan 02 jet hose untuk memadamkan kebakaran.

Anggota bomba ketika memadamkan kebakaran yang telah mencetuskan asap tebal, sekali gus menjejaskan para pengguna jalan raya. – Gambar oleh JBP

Kebakaran telah dapat dikawal dan keadaan jalan raya berkenaan kembali selamat untuk dilalui. Kenyataan juga menyatakan bahawa Pasukan Polis Seria juga turut memberi bantuan bagi mengawal lalu lintas.

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) dalam kenyataan itu menyarankan supaya pengguna jalan raya akan dapat memperlahankan kenderaan dan sentiasa memasang lampu kecemasan semasa melalui kawasan berasap tebal.

Para pemancing disarankan, sebelum meninggalkan lokasi, untuk memastikan api perunan telah dipadamkan keseluruhannya dan untuk tidak membuang puntung rokok yang masih menyala bagi menggelakkan kebakaran berlaku dan terus merebak.

JBP juga memohon kerja-sama orang ramai, jika ternampak api kecil di tepi jalan raya supaya dapat memadamkannya secepat mungkin.

Sementara itu, jika berlaku sebarang insiden kecemasan, mereka hendaklah berhubung terus ke Pusat Gerakan JBP melalui talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.