Asbut cemari bandar India

NEW DELHI, 14 NOV – Ruang langit kelihatan kabur oleh asbut kelabu yang tebal. Monumen dan bangunan-bangunan tinggi diselubungi jerebu, manakala orang ramai sukar untuk bernafas.

Indeks kualiti udara di bandar India jatuh ke kategori ‘sangat teruk’ hari ini, menurut SAFAR, agensi pemantauan alam sekitar utama India, dan di kebanyakan kawasan paras jirim zarah maut mencecah sekitar enam kali ganda nilai ambang keselamatan global.

Imej satelit NASA juga menunjukkan dataran utara India diliputi jerebu tebal.

Antara kebanyakan bandar-bandar India yang bergelut untuk bernafas, New Delhi berada di senarai teratas setiap tahun.

Krisis itu semakin menjadi-jadi semasa musim sejuk apabila pembakaran sisa tanaman di negeri jiran berbetulan dengan suhu sejuk yang memerangkap asap berbahaya. Asap itu bertiup ke New Delhi, membawa kepada pertambahan dalam pencemaran di bandar yang mempunyai lebih 20 juta penduduk dan memburukkan lagi krisis kesihatan umum.

Kerajaan New Delhi kelmarin telah mengarahkan penutupan sekolah-sekolah selama seminggu dan tapak pembinaan selama empat hari bermula esok (Isnin). Pejabat kerajaan juga diarahkan untuk bekerja secara syif dari rumah selama seminggu untuk mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya.

Pemimpin terpilih bandar itu, Arvind Kejriwal, berkata sekatan pergerakan penuh di bandar itu akan difikirkan namun keputusan itu akan diambil selepas konsultasi bersama kerajaan persekutuan. – AP

Bangunan-bangunan diliputi asbut di New Delhi pada 14 November. – AFP