TIANJIN, China, 19 Sept – Perdana Menteri China Li Keqiang mencela ‘dasar satu pihak’ hari ini dalam rujukan secara tidak langsung kepada perbalahan perniagaan dengan Amerika Syarikat (AS) dan menekankan pengaruh beliau kepada pembukaan seterusnya ekonomi kedua terbesar dunia.
Bercakap pada sesi musim panas Forum Ekonomi Dunia di timur bandar Tianjin, Li berkata masalah mesti diatasi menerusi rundingan, sehari selepas China dan AS bertukar-tukar tindakan balas tarif.
“Adalah penting kami mendukung prinsip asas fahaman pelbagai pihak dan perniagaan bebas,” kata Li dalam ucapan beliau pada ‘Davos musim panas.’
“Untuk mana-mana masalah yang timbul, ia perlu diusahakan menerusi rundingan” kata Li, menambah ‘fahaman satu pihak’ tidak menawarkan penyelesaian.
Perang perniagaan di antara dua ekonomi terbesar dunia meningkat pada Isnin apabila Donald Trump mengumumkan beliau akan meneruskan dengan tarif ke atas AS$200 bilion barangan China, di samping AS$50 bilion yang telahpun disasarkan. Sebaik sahaja langkah terbaharu dikenakan pada minggu depan, Washington akan mengenakan levi ke atas kira-kira separuh daripada importnya dari China.
Selepas Beijing memutuskan untuk bertindak balas semalam dengan duti ke atas AS$60 bilion produk Amerika, Trump menuduh China berusaha mempengaruhi pilihan raya kongres pertengahan penggal dengan menyasarkan kumpulan politiknya.
Tarif berkenaan menyusuli satu jemputan terbaharu daripada Setiausaha Perbendaharaan Mnuchin untuk mengadakan rundingan dengan rakan sejawatan China tetapi Beijing mengingatkan semalam perkembangan terbaharu telah membawa kepada ‘ketidakpastian’.
Mata wang yuan China, juga dikenali sebagai renminbi, telah turun nilai pada tahun ini, menyebabkan Trump menuduh Beijing sengaja memanipulasi mata wang untuk menghapus tarif yang dikenakan.
Li menafi dakwaan tersebut, berkata “tidak ada bukti yang menunjukkan ia berlaku.”
“Bagi China, penurunan nilai memberi lebih banyak kesan negatif daripada positif,” kata beliau. “China tidak akan menggunakan penurunan nilai renminbi untuk merangsang eksport.” – AFP