ASEAN alu-alukan inisiatif perdagangan Australia

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang ini, berkenan mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN-Australia Pertama yang berlangsung secara maya melalui persidangan video dari Baitul Mesyuarah, Istana Nurul Iman.

Pada sidang kemuncak itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia, selaku Pengerusi ASEAN bagi tahun 2021 bertitah mengetengahkan bahawa Sidang Kemuncak Tahunan ASEAN-Australia yang julung kalinya diadakan itu menandakan lembaran baharu dalam hubungan ASEAN bersama Australia, rakan dialog ASEAN yang pertama.

Baginda bertitah mengakui bahawa pandemik COVID-19 yang berpanjangan telah memberi impak besar terhadap penduduk seperti sumber pendapatan, cara hidup dan kebajikan termasuk kesihatan mental mereka.

Baginda juga bertitah menzahirkan penghargaan atas sokongan padu Australia dalam bekerjasama dengan Negara Brunei Darussalam dan Malaysia, untuk mengangkat agenda kesihatan mental di rantau ini.

Sehubungan itu, Baginda bertitah ingin melihat inisiatif pembinaan kapasiti dan perkongsian kepakaran serta pengalaman di kalangan pegawai dan para belia untuk menangani isu berkenaan.

Baginda Sultan semasa berkenan mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN-Australia Pertama yang berlangsung secara maya melalui persidangan video dari Baitul Mesyuarah, Istana Nurul Iman, kelmarin. – Gambar serahan Host Photo

Baginda Sultan mengambil maklum bahawa ASEAN terus sahaja menghadapi ketidaktentuan ekonomi serantau dan global ketika dalam pemulihan pandemik COVID-19 dan salah satu kaedah untuk mengatasi cabaran-cabaran itu adalah dengan menegakkan sistem perdagangan berbagai-bagai hala yang inklusif, terbuka dan berasaskan peraturan.

Dalam pada itu, aktiviti-aktiviti perdagangan serta pengukuhan perjanjian perdagangan di antara ASEAN dan Australia adalah dialu-alukan.

Oleh itu, Baginda Sultan berpuas hati perundingan untuk mempertingkatkan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand sedang berjalan dengan baik dan menaruh harapan bagi penyelesaian perjanjian berkenaan dalam tempoh yang bersesuaian.

Di samping itu, ASEAN dan Australia juga bersetuju untuk mewujudkan Perkongsian Strategik Komprehensif antara ASEAN dan Australia yang bermakna, substantif dan saling menguntungkan.

Sementara itu, Perdana Menteri Australia, Tuan Yang Terutama Scott Morrison menegaskan bahawa kestabilan serantau ASEAN adalah penting kepada Australia, menjurus kepada perkongsian berkekalan yang terbuka, inklusif dan berdaya tahan.

Dengan ASEAN berada di tengah-tengah Indo-Pasifik, Australia mengesahkan komitmen dan sokongannya terhadap empat bidang utama iaitu kerjasama maritim, kesalinghubungan, pembangunan mampan dan ekonomi, sejajar dengan Pandangan ASEAN terhadap Indo-Pasifik.

Perdana Menteri Republik Demokratik Laos, Tuan Yang Terutama Phankham Viphavanh selaku Negara Penyelaras Hubungan Dialog ASEAN-Australia semasa menyampaikan Kenyataan Bersama ASEAN, antara lainnya mengalu-alukan peningkatan hubungan ASEAN-Australia kepada perkongsian strategik yang komprehensif; menghargai penyertaan Australia dalam mekanisme pimpinan ASEAN dan komitmennya terhadap pemusatan ASEAN; menyokong pelaksanaan perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau dan menaik taraf Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand serta program unggul sosiobudaya termasuk pertukaran antara rakyat dan pendidikan.

Pada sidang kemuncak itu, para pemimpin menyatakan penghargaan terhadap inisiatif Australia dalam meningkatkan bekalan vaksin di rantau ini serta menyeru bagi kerjasama lanjut dalam bidang kesihatan awam.

Terdapat keperluan untuk menangani cabaran-cabaran berikutan pandemik COVID-19 melalui pelaksanaan pelan tindakan yang berkaitan dan penglibatan yang membina.