Friday, April 19, 2024
23.7 C
Brunei

    -

    ASEAN-BAC kukuhkan perpaduan serantau

    Oleh Nurdiyanah R.

    Delegasi daripada 10 negara-negara ASEAN termasuk Negara Brunei Darussalam telah mengambil bahagian dalam Mesyuarat ASEAN Business Advisory Council (ASEAN-BAC) ke-93 dan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-17 secara bersemuka dan dalam talian.

    Kedua-dua mesyuarat telah dipengerusikan oleh Pengerusi ASEAN-BAC 2022, Neak Okhna Kith Meng pada 29 Jun lalu di Hyatt Regency di Phnom Penh, Kemboja.

    Semasa berlangsungnya mesyuarat berkenaan, Pengerusi ASEAN-BAC 2021 dan Pengarah Eco Bumi Arkitek, Dayang Yanty Rahman, menyampaikan ucapan perpisahan beliau dengan merakamkan penghargaan atas sokongan terutamanya semasa kepengerusian Brunei, dan ia satu penghormatan dapat bekerjasama dengan ahli-ahli yang lain dan memperoleh peluang teristimewa semasa berkhidmat dengan ASEAN-BAC, JBC dan rakan kongsi lainnya.

    Beliau yang terus mengemudi Brunei Legacy Project HIRED bersama majlis Brunei turut mengumumkan pada majlis mesyuarat berkenaan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif Dynamik Technologies, Dayang Haslina binti Taib sebagai peneraju baharu untuk ASEAN-BAC Brunei manakala perwakilan baharu negara untuk ASEAN-BAC ialah Pengurus Besar PDS Abattoir, Haji Muhamad Sabirin bin Othman.

    Dalam pada itu, Dayang Haslina mengemukakan bahawa ASEAN-BAC Brunei menyahut tema Kepengerusian ASEAN-BAC Kemboja 2022 iaitu Addressing Challenges Together di mana apabila kita memasuki tahap endemik COVID, ia adalah penting bagi ASEAN untuk kekal dalam perpaduan, pemulihan dan menangani cabaran bagi keharmonian, keamanan, dan kemakmuran untuk semua.

    Penjagaan kesihatan antara yang dibincangkan dalam fasa pertama mesyuarat di samping pelancongan.
    Haji Muhamad Sabirin selaku perwakilan Negara Brunei Darussalam bersama ahli dan kakitangan ASEAN BAC semasa menghadiri mesyuarat secara fizikal di Phnom Penh, Kemboja. – Gambar serahan ASEAN BAC Brunei
    Ketika memasuki tahap endemik COVID, adalah penting bagi ASEAN untuk kekal dalam perpaduan, pemulihan dan menangani cabaran bagi keharmonian, keamanan dan kemakmuran untuk semua.

    “Kami kekal komited dalam memenuhi mandat ASEAN-BAC dan menjadi suara sektor swasta tertinggi terutamanya untuk kepentingan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Brunei.

    “Kami juga teruja untuk berkongsi bahawa projek legasi digital yang sedang berkembang di bawah ASEAN Digital Gateway and Credentials Wallet dan berhasrat untuk melancarkan fasa pertama wallet berkenaan pada bulan Ogos ini sebagai salah satu daripada priority deliverables ASEAN-BAC Brunei,” tambahnya.

    Sementara itu, Haji Muhamad Sabirin turut menyatakan pada majlis mesyuarat berkenaan, bahawa sejak menjadi ahli baharu dalam ASEAN-BAC, ia juga sebagai satu penghormatan dan pengalaman yang luar biasa dengan kerendahan diri yang bukan hanya untuk meneroka, tetapi juga untuk berusaha mencipta sebarang kemungkinan terbaik bagi masa depan PMKS di Brunei.

    “Oleh itu, saya benar-benar berharap untuk menyumbang ke arah pertumbuhan kerjasama serantau yang lebih padu dan inklusif untuk tahun-tahun yang akan datang,” ujarnya lagi.

    ASEAN-BAC Brunei mengasaskan Digital Transformation Working Group (DTWG) semasa tahun kepengerusian Brunei dan pada tahun ini mempengerusikannya bersama Indonesia. Di bawah kumpulan kerja, kunci keutamaan telah dirangka dengan fasa-fasa tertentu.

    Fasa pertama yang dibincangkan semasa mesyuarat pertama ialah pelancongan dan penjagaan kesihatan, di mana inisiatif termasuk ASEAN Digital Getaway and Travel Wallet. Fasa kedua menumpukan kepada Education, Human Capital Development with Priority on MSME Empowerment and Sustainability yang mana akan berlangsung pada bulan Julai ini.

    Manakala fasa ketiga pula ialah e-Commerce and Trade Facilitation yang ditetapkan untuk dibincangkan pada bulan Ogos nanti; dan fasa keempat berkaitan dengan Financial Services yang dirancang pada bulan Oktober sebelum penyediaan laporan dari kumpulan kerja menjelang November.

    Majlis mesyuarat turut menyentuh mengenai pengemaskinian mengenai projek legasi Brunei, ASEAN Digital Gateway and Travel Wallet di mana sebagai menyokong ASEAN Travel Corridor Framework yang bertujuan untuk memudahkan perjalanan yang lancar dan selamat masuk Asia Tenggara melalui pembangunan platform yang terbuka, dikongsi dan diseragamkan. Aplikasi ASEAN Travel Wallet disasarkan untuk dilancarkan pada bulan Ogos ini.

    Pada mesyuarat itu, ahli majlis perniagaan ASEAN membincangkan dan mengumpul input dan cadangan daripada sektor swasta bertujuan untuk memberi dorongan bagi menjalankan perniagaan dalam norma baharu. Dalam pada itu, pengerusi mesyuarat telah menggesa ahli perniagaan ASEAN untuk mengukuhkan perpaduan dan amalan tindakan perniagaan dalam norma baharu dalam konteks situasi COVID.

    Mesyuarat turut disusuli dengan Pelancaran ASEAN Business and Investment Summit (ABIS) dan ASEAN Business Awards (ABA) 2022 yang dihoskan oleh negara Pengerusi ASEAN-BAC 2022, ASEAN-BAC Kemboja pada 29 Jun 2022 di Hyatt Regency, Phnom Penh, Kemboja.

    Acara hibrid itu dihadiri lebih daripada 100 orang, termasuk Menteri Perdagangan Kerajaan Kemboja dan Pengerusi Menteri-menteri Ekonomi ASEAN, Tuan Yang Terutama Pan Sorasak, menteri-menteri lainnya, perwakilan asing, persatuan perniagaan antarabangsa dan tempatan, serta Anggota ASEAN-BAC.

    Dalam ucapan pembukaannya, Neak Okhna Kith Meng, menekankan peranan ASEAN-BAC sebagai platform untuk pembangunan sektor swasta, denganmatlamat utama bagi merealisasikan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).

    Beliau juga menekankan kepentingan ABIS dan ABA, sebagai perhimpunan utama serantau yang membawa bersama ASEAN dan pemimpin dunia, dan pihak berkepentingan yang berkaitan untuk membincangkan bagaimana rantau ini boleh menangani isu-isu yang paling mendesak, dan bagi membangunkan cara untuk menjadikan pemacu ekonomi ASEAN sebagai penyumbang kepada kemakmuran dan kemampanan bersama.

    Dalam pada itu, TYT Pan Sorasak, turut menekankan kepentingan PMKS bagi rantau ini, yang menyumbang jelas kepada jumlah keseluruhan penubuhan rantau, guna tenaga, keluaran dalam negara kasar (KDNK) serantau dan eksport.

    TYT Pan Sorasak seterusnya menggalakkan sektor swasta dan pihak berkepentingan yang berkaitan untuk menyertai kerjasama bagi menjayakan ABIS dengan lancar dan jayanya. ABIS dan ABA akan diadakan secara tentatif pada 9 dan 10 November di Phnom Penh, Kemboja.

    Bekas Pengerusi ABA 2021, Awang Musa Adnin menjangkakan bahawa ABA 2022 akan membantu komuniti perniagaan antarabangsa dengan memberikan pemahaman yang menyeluruh dan lebih baik mengenai kekuatan ASEAN yang seterusnya akan membantu menggalakkan integrasi ekonomi.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gempa bumi 6.3 magnitud di Jepun cederakan 8 orang

    TOKYO, 18 APRIL – Lapan orang dilaporkan cedera hari ini selepas gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda barat daya Jepun, tetapi tiada kerosakan besar...