SINGAPURA, 9 Mei – ASEAN, yang dihuni oleh 600 juta penduduk, mempunyai potensi untuk mewujudkan sistem ekonominya sendiri, menggabungkan prinsip dan nilai komuniti dengan hak ekonomi dan kebebasan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malayan Banking Bhd (Maybank) Datuk Abdul Farid Alias berkata kumpulan serantau itu dapat mewujudkan model baharu bagi kemampanan, yang boleh dan akan menjadi inspirasi kepada dunia.
“Bagi mencapainya, langkah terbaik untuk ASEAN ialah menyelaraskan pasaran modal dengan nilai-nilai ASEAN yang dikongsi bersama, supaya mereka membawa komuniti yang pelbagai di rantau ini ke hadapan sistem kewangan.
“Kenapa? Apabila komuniti kita kukuh, ekonomi lebih berdaya tahan, dan justeru, lebih mampan,” katanya semasa menyampaikan ucaptama, ‘Doing Right in a Period of Uncertainty’ pada Invest Asia 2019, selama dua hari di sini hari ini.
Pada masa ini, katanya, ia merupakan kuasa pasaran yang terdapat dalam pasaran modal yang terbuka, berhubung dan dapat diakses yang akan menjamin matlamat pembangunan mampan secara keseluruhannya, dan pada masa yang sama memastikan taraf hidup masyarakat dan kemakmuran ekonomi mereka terus meningkat. Menurut Abdul Farid, sehingga hari ini, sebahagian besar penduduk Asia Tenggara masih tidak mempunyai akses kepada kemudahan perbankan asas, begitu juga akaun simpanan atau akses kepada kemudahan kredit.
“Hanya 27 peratus daripada penduduk di rantau ini mempunyai akaun bank, manakala, kira-kira 65 juta penduduk di ASEAN masih tidak mempunyai akses asas kepada elektrik dan air,” katanya.
Sehubungan itu, katanya celik kewangan dan kesedaran yang lebih tinggi, dengan akses yang lebih baik kepada modal dalam semua kumpulan pendapatan menjadi matlamat penting untuk mencapai sektor awam dan swasta demi memperoleh pulangan jangka panjang daripada pembangunan sosial yang mampan.
Menurut beliau, kuasa kebebasan ekonomi, yang diperkukuhkan oleh dasar ekonomi yang seimbang dan saksama akan memperkasakan masyarakat dan rakyat dengan peluang inovasi, dan memelihara kesejahteraan mereka melalui persekitaran yang lebih bersih. – Bernama