ASEAN bincang wujud produk pelancongan baru

HANOI, 25 Julai – Mesyuarat Pertubuhan Pelancongan Kebangsaan ASEAN kali ke-46 yang bermula di Vinh Phuc, di sini, semalam, disertai lebih 100 perwakilan dari negara-negara ASEAN, Sekretariat ASEAN dan Persatuan Pelancongan ASEAN.

Agensi berita Vietnam (VNA) melaporkan mesyuarat itu telah membincangkan mengenai Pelan Strategik Pelancongan ASEAN 2016-2025, termasuk merangka strategi pemasaran untuk sektor pelancongan ASEAN pada 2017 hingga 2020, selain melaksanakan Perjanjian Pengiktirafan Bersama untuk Pelancongan Profesional.

Perwakilan yang terdiri daripada pemain industri pelancongan negara-negara ASEAN juga berbincang untuk mewujudkan produk pelancongan baharu dan mengeluarkan kenyataan bersama mengenai pelancongan marin.

Mereka juga merangka strategi yang diperlukan dalam usaha menggalakkan pihak swasta dan komuniti setempat melabur dalam sektor pelancongan.

Ia akan disusuli satu lagi mesyuarat melibatkan kerjasama pelancongan Rabu ini di bawah kerangka ASEAN plus 3 (China, Korea Selatan dan Jepun), ASEAN-China dan ASEAN-India. – Bernama