ASEAN cadang larang Myanmar sertai sidang

Oleh Azlan Othman

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OKT – Negara-negara Asia Tenggara kini sedang berbincang kemungkinan tidak menjemput junta Myanmar ke sidang kemuncak maya ASEAN pada 26 hingga 28 Oktober ini kerana kecewa dengan komitmen Myanmar terhadap pelan perdamaian yang dipersetujui.

“ASEAN sedang membincangkan secara mendalam sama ada mahu menjemput Myanmar dalam sidang kemuncak maya itu atau sebaliknya, dan perkara dibangkitkan beberapa menteri ASEAN bahawa ia enggan bekerjasama dengan Duta Khas ASEAN ke Myanmar,” kata Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof (gambar) pada sidang media online selepas mesyuarat menteri-menteri luar ASEAN secara maya Isnin lalu.

Beliau yang juga Duta Khas ASEAN ke Myanmar mengatakan adalah penting untuk melihat perkembangan dalam lima konsensus utama. Sehingga hari ini, tiada kemajuan mengenai pelaksanaan lima konsensus itu dan ini membangkitkan kebimbangan komitmen oleh Ketua Turus Myanmar semasa mesyuarat April tahun ini bersama pemimpin ASEAN, secara dasarnya hampir tiada penyelesaian.

Menurutnya lagi, Malaysia dan beberapa menteri luar lainnya mengutarakan perkara itu dan ia sudah pun dipertimbangkan secara berhati-hati terutama dalam perlaksanaannya dan masa depannya. Apabila bercakap mengenai keputusan politik, perlu dilihat sama ada ia memberi impak ke atas rantau ini dan pertubuhan serta negara ahli, tambahnya.

Beliau juga tidak keberatan mengunjungi Myanmar sebelum sidang kemucak ASEAN dan mesyuarat berkaitan pada hujung bulan ini dan terbuka untuk lawatan ke sana pada bila-bila masa.

Yang Berhormat Dato turut menjelaskan terdapat beberapa cadangan yang telah dikemukakan terutamanya bagi dialog dengan pihak berkaitan, pertemuan dengan tahanan, pembebasan tahanan dan gencatan keganasan dan gencatan senjata.

Ditanya sama ada pentadbiran junta Myanmar membalas permintaan untuk bertemu pemimpin awam tahanan yang digulingkan, Aung San Suu Kyi, Yang Berhormat Dato mengatakan ‘junta belum memberikan jawapan ya. Mereka mengatakan ia masih sukar dan terdapat prosedur undang-undang yang sedang berlangsung. Lima kesepakatan yang dicapai tidak menyatakan dengan jelas untuk bertemu Aung San Suu Kyi. Keutamaan adalah untuk mencapai kemajuan dalam dialog dengan pihak berkonflik.

Beliau juga mengatakan Myanmar sentiasa sebahagian daripada ASEAN dan masa ini, tiada perbincangan untuk menggantungkan keahliannya.

“Kami masih berbincang siapa yang akan mewakili mereka. Belum ada persetujuan mengenainya dan ASEAN masih berunding bersama rakan dialog kami,” tambahnya.