ASEAN Care Economy tingkatkan kesejahteraan rakyat

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OKT – Dalam menghadapi dunia yang semakin mencabar, teras mesej ASEAN Care Economy adalah untuk memberi lebih perhatian mengenai bagaimana penjagaan boleh menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi yang mampan di rantau ini.

“Dalam masa yang sama, impak COVID-19 pada setiap sektor komuniti ASEAN juga telah mengingatkan kita bahawa kesan wabak ini telah melangkaui kesihatan.”

Perkara ini dijelaskan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin semasa mempengerusikan ASEAN Socio-Cultural Community Council 2021, The Asean Business and Investment Summit 2021, hari ini.

Semasa menyampaikan ucapan secara maya mengenai ASEAN Care Economy: How Can ASEAN Ensure No One is Left Behind?, Yang Berhormat Dato menjelaskan, tema pengerusi ASEAN Brunei Darussalam tahun ini We Care, We Prepare, We Prosper menggariskan usaha kolektif ASEAN dalam meningkatkan kesejahteraan dan mata pencarian dalam masa yang mencabar ini.

“Inilah pemikiran di sebalik Rangka Kerja Komprehensif mengenai Ekonomi Penjagaan (Care Economy) yang akan diterima pakai pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 minggu ini,” jelasnya.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa mempengerusikan ASEAN Socio-Cultural Community Council 2021, The Asean Business and Investment Summit 2021, kelmarin

Katanya lagi, “Data terkini menunjukkan ekonomi penjagaan boleh mewujudkan se-hingga 475 juta pekerjaan untuk mencapai SDG pada tahun 2030 dan pentingnya untuk memajukan penjagaan ekonomi di ASEAN.”

Rangka kerja komprehensif mengenai penjagaan ekonomi akan menunjukkan keutamaan strategik yang bukan saja untuk menangani cabaran yang semakin meningkat dalam mengekalkan pelaburan di rantau ini, tapi juga untuk merangka semula dengan lebih komprehensif.

Di samping itu, ia juga membolehkan dan menyokong dasar penjagaan ASEAN seterusnya membina semula dengan lebih baik selain memanfaatkan kemajuan pendigitalan dan peluang yang dibawa oleh Revolusi Perindustrian Keempat.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan seterusnya menambah, rangka kerja itu akan melengkapkan kerja-kerja tonggak lain melalui Rangka Kerja Pemulihan Komprehensif ASEAN, strategi rantau untuk keluar daripada pandemik dan usaha berterusan ke arah wawasan ASEAN pasca 2025.

Dalam Rangka Kerja Komprehensif ASEAN mengenai Care Economy, Yang Berhormat Dato turut mengongsikan enam strategi utama yang dikenal pasti untuk menangani keperluan semasa dan masa depan.

Menurutnya, keutamaan strategi ini diharapkan dapat menyokong dan membimbing dalam membangunkan ekonomi penjagaan di rantau ini.

Antara enam strategi utama itu, mempromosikan kesihatan penuaan dan memanfaatkan peluang dalam penuaan dalam masyarakat di rantau ini.

Selain itu, strategi lain termasuk meningkatkan peranan penjagaan ekonomi dalam ketahanan bencana ASEAN, mempercepatkan inovasi teknologi dan transformasi digital di ASEAN serta keperluan untuk membina keluarga yang berdaya tahan dan kukuh sebagai asas penjagaan ekonomi.

Manakala strategi utama yang lain juga adalah untuk meningkatkan perlindungan sosial dan keperluan mempertimbangkan pemulihan dan penjagaan alam sekitar.