Saturday, January 25, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    ASEAN-China bincang peluang kerjasama sains dan teknologi

    Oleh Sim Y.H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 DIS – Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof telah menghadiri Sesi Khas Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN-China mengenai Sains, Teknologi dan Inovasi yang berlangsung secara maya, hari ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), di sini, turut hadir semasa mesyuarat itu ialah Setiausaha Tetap di MTIC, Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof; Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi) di MTIC, Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim dan juga disertai oleh pegawai-pegawai kanan di MTIC.

    Mesyuarat berkenaan diadakan bersamaan dengan ulang tahun ke-30 hubungan ASEAN dan Republik Rakyat China.

    Mesyuarat tersebut dipengerusikan bersama oleh Menteri Pengajian Tinggi, Sains, Penyelidikan dan Inovasi, Thailand, Tuan Yang Terutama Dr Anek Laothamatas dan Menteri Sains dan Teknologi, Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama, Wang Zhigang.

    Antara perkara-perkara yang telah dibincangkan ialah mengenai kepentingan inovasi dalam sains dan teknologi dan seterusnya menyentuh mengenai peluang untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang sains dan teknologi pada masa hadapan bagi mencapai manfaat bersama.

    Dalam pada itu, mesyuarat juga membincangkan mengenai Pelan Tindakan ASEAN-China mengenai Kerjasama Erat Sains, Teknologi dan Inovasi untuk Masa Depan (ACPASTI) 2021-2025, yang turut dipersetujui semasa mesyuarat tersebut. 

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib dalam ucapannya semasa sesi perkongsian mesyuarat tersebut antara lainnya menyatakan penghargaan dan sokongan terhadap aktiviti-aktiviti yang dicadangkan dalam pelan tindakan berkenaan terutama sekali Program Pertukaran Sains Muda Berbakat (TYSP), ASEAN Youth Innovation and Entrepreneurship Tour to China dan bengkel-bengkel latihan bagi negara-negara ASEAN.

    Yang Berhormat  Dato juga menekankan sebagai langkah seterusnya agar aktiviti-aktiviti yang dicadangkan di dalam pelan tindakan tersebut untuk dilaksanakan secara bersama dan bersepadu.

    Semasa mesyuarat tersebut, Yang Berhormat Dato turut mengongsikan mengenai penubuhan Majlis Penyelidikan dan Kemajuan Teknologi dan Sains (CREATES) yang berfungsi untuk menyokong pembangunan dan pertumbuhan aktiviti-aktiviti sains, teknologi dan inovasi di Negara Brunei Darussalam.

    Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi semasa menghadiri mesyuarat secara maya berkenaan. – Gambar serahan MTIC
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda