KUALA LUMPUR, 16 SEPT – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap pihak ASEAN dan China dapat menyegerakan penambahbaikan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) untuk manfaat bersama.
Jelas beliau, ini kerana persetujuan telah diberikan kepada Kajian Kebolehlaksanaan Bersama bagi mempertingkatkan keberkesanan ACFTA untuk memastikan perjanjian ini menjadi lebih inklusif, moden dan komprehensif. Selain itu, menurut Perdana Menteri, langkah mempelbagaikan usaha dalam bidang perdagangan dan pelaburan amatlah penting supaya wujud kerjasama yang berterusan antara ASEAN dan China.
Perjanjian ACFTA juga harus menjadi asas hubungan perdagangan ASEAN-China selain terus berperanan memudahkan perdagangan antara kedua-dua belah pihak bagi manfaat perniagaan dan komuniti serantau, kata Ismail Sabri ketika berucap secara maya pada majlis perasmian Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-19 hari ini.
“Di sebalik cabaran getir akibat berlakunya pandemik COVID-19 ini, kita perlu terus bekerjasama dan menggalakkan jalinan hubungan perdagangan pelbagai hala bagi mendepani juga krisis-krisis luar jangka yang mungkin berlaku pada masa hadapan berikutan ketidaktentuan geopolitik dunia,” tambah beliau.
Seperti dinyatakan dalam Rangka Kerja Pemulihan Ekonomi ASEAN (ACRF), Ismail Sabri berkata usaha serantau perlu ditingkatkan bagi mengekalkan kesinambungan rantaian bekalan dan memudahkan pergerakan barangan dan perkhidmatan dengan menghapuskan halangan perdagangan. – Bernama