Asean-China komited tingkat kerjasama pengangkutan

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JULAI – Menteri-menteri pengangkutan ASEAN dan China telah mengesahkan komitmen meningkatkan kerjasama yang sedia ada termasuk perihal memudah cara aktiviti logistik dalam penghantaran, pembekalan dan pembuatan barangan keperluan dalam menangani wabak COVID-19.

Di samping itu, menteri-menteri pengangkutan ASEAN-China juga bersetuju untuk meningkatkan pertukaran dan perkongsian maklumat, pengetahuan dan amalan terbaik bagi meningkatkan kemampuan pengendalian pandemik di setiap tempat merentas sempadan darat, pelabuhan dan lapangan terbang sambil memastikan langkah berjaga-jaga kesihatan terjamin.

Persetujuan berkenaan antara disahkan oleh sidang menteri dalam satu kenyataan bersama bertajuk Ensuring Smooth Transport and Logistics to Combat COVID-19 and Reactivate the Economy hasil daripada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN dan China mengenai COVID-19 yang diadakan secara persidangan video hari ini.

Mesyuarat yang berobjektif bagi memastikan kestabilan dan keterbukaan sistem pengangkutan serta logistik antarabangsa dalam pemulihan ekonomi semasa menangani krisis penularan wabak COVID-19 itu telah dipengerusikan bersama oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof.

Mesyuarat khas berkenaan telah dihadiri oleh menteri-menteri pengangkutan ASEAN dan Menteri Pengangkutan Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Li Xiaopeng serta setiausaha agung ASEAN.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib ketika mempengerusikan bersama mesyuarat khas secara dalam talian berkenaan. – Gambar serahan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi

Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dalam kenyataan yang dikeluarkan menyatakan bahawa semasa mesyuarat khas tersebut, sidang menteri serta setiausaha agung ASEAN bertukar-tukar pendapat serta berkongsi pengalaman di sektor pengangkutan dalam mendokong usaha membendung penularan wabak COVID-19 dan untuk mengukuhkan kerjasama dalam perkembangan kesalinghubungan sektor pengangkutan serantau.

Dalam ucapan pembukaannya selaku pengerusi bersama, Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi menyentuh mengenai komitmen ketua-ketua negara ASEAN semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-36 dalam melaksanakan dasar yang disasarkan untuk menangani cabaran pandemik COVID-19 di rantau ini dan dunia.

Beliau telah mengongsikan usaha dan inisiatif dalam sektor pengangkutan yang dilaksanakan di Negara Brunei Darussalam dalam menangani wabak COVID-19.

Di samping itu, beliau juga menekankan peranan sektor pengangkutan dalam menghadapi penularan wabak COVID-19. Dalam hal ini, tambah beliau, Negara Brunei Darussalam mengalu-alukan perlaksanaan program dan inisiatif di bawah rangka kerjasama pengangkutan ASEAN-China ke arah mendokong usaha-usaha bagi mencapai matlamat Pelan Strategik Pengangkutan ASEAN.

Turut hadir semasa mesyuarat khas tersebut ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof selaku pengerusi Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Pengangkutan ASEAN (STOM) dan ketua STOM bagi Negara Brunei Darussalam, serta pegawai-pegawai kanan kementerian berkenaan dan jabatan-jabatan serta pihak berkuasa di bawahnya.