ASEAN-China setuju majukan perkongsian strategik

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 NOV – Hubungan ASEAN-China adalah antara kerjasama paling bermanfaat bersama, substantif dan paling dinamik antara ASEAN dan rakan-rakan dialognya di mana ia telah menjadi contoh bagi kerjasama serantau serta menyumbang secara signifikan kepada keamanan, kestabilan, pembangunan dan kemakmuran di rantau Asia-Pasifik.

Sementara itu, sebagai jiran yang rapat, hubungan ASEAN-China dalam tempoh 30 tahun kebelakangan ini telah berkembang secara signifikan dan matang selari dengan pembangunan kedua-dua belah pihak.

Ke arah itu, pemimpin-pemimpin negara anggota ASEAN dan Republik Rakyat China mengesahkan konsensus masing-masing untuk memajukan perkongsian strategik komprehensif ke tahap lebih tinggi dengan menjana kerjasama lebih rapat demi sebuah masa hadapan ASEAN-China yang bermanfaat bersama dalam dokumen-dokumen penting seperti Wawasan Perkongsian Strategik ASEAN-China 2030 dan dengan pelaksanaan penuh serta efektif Pelan Tindakan untuk melaksanakan Perkongsian Strategik ASEAN-China bagi Keamanan dan Kemakmuran (2021-2025).

Di samping itu, ASEAN juga mengambil maklum usaha aktif China untuk mempromosikan kerjasama ASEAN-China lebih erat termasuk visi China untuk membangunkan komuniti ASEAN-China yang lebih rapat dengan sebuah masa depan yang dikongsi.

Perkara itu antara yang ditekankan oleh pemimpin ASEAN dan Republik Rakyat China yang bersama-sama meluluskan Joint Statement of the ASEAN-China Special Summit to Commemorate the 30th Anniversary of ASEAN-China Dialogue Relations: Comprehensive Strategic Partnership for Peace, Security, Prosperity and Sustainable Development, pada akhir Sidang Kemuncak Khas bagi Memperingati Ulang Tahun ke-30 Hubungan Dialog ASEAN-China yang berlangsung melalui persidangan video, hari ini.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan ketika berkenan menghadiri sidang kemuncak khas secara maya berkenaan bersama para pemimpin negara ASEAN lain dan China. – Gambar oleh Infofoto

Para pemimpin ASEAN dan Republik Rakyat China dalam kenyataan bersama itu menekankan supaya kerjasama ASEAN-China dimajukan di semua bidang yang menyumbang kepada membina rantau terbuka, inklusif dan mampan yang menikmati keamanan, sekuriti, kemakmuran dan pembangunan mampan.

Ke arah itu, para pemimpin bersama-sama mengumumkan penubuhan Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-China yang bermakna, substantif dan bermanfaat bersama serta menugaskan pegawai-pegawai masing-masing untuk menyusuli pelaksanaannya.

Para pemimpin juga menegaskan semula pentingnya untuk mengekalkan Centrality ASEAN dalam reka bentuk serantau yang berubah serta untuk menyokong pembangunan komuniti dan integrasi ASEAN dan usaha ASEAN bagi merealisasikan Wawasan Komuniti ASEAN 2025.

Pada masa yang sama, memajukan kerjasama dalam bidang-bidang relevan yang dikenal pasti dalam ASEAN Outlook on the Indo-Pacific (AOIP) untuk membangunkan peningkatan kepercayaan strategik dan kerjasama menang-menang di kalangan negara-negara dalam rantau itu seperti berpandukan tujuan dan prinsip TAC termasuk meneroka kerjasama bermanfaat bersama dengan Belt and Road Intiative.

Para pemimpin juga menyeru untuk meningkatkan kerjasama ASEAN-China dalam era pasca-pandemik bagi manfaat bersama dan pembangunan mampan jangka panjang termasuk menerusi sokongan bagi Rangka Kerja Pemulihan Komprehensif ASEAN (ACRF).