Asean digesa kekalkan kestabilan, kemapanan sumber makanan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 APRIL – Menteri-menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN (AMAF) dalam menekankan akan pentingnya tiga perkara penting iaitu pemakanan, pertanian dan juga sektor perhutanan telah menggesa pengeluaran berterusan yang diperlukan, selamat dan berkhasiat yang akan terus sampai ke pasaran ASEAN semasa penularan wabak COVID-19 ini.

Penekanan itu dibuat dalam kenyataan AMAF yang dikongsi oleh Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, di sini, yang menyatakan keprihatinan mendalam para menteri terhadap wabak koronavirus (COVID-19), yang melanda kehidupan manusia dan ekonomi termasuk sektor-sektor pemakanan, pertanian dan perhutanan ASEAN dan global.

Para menteri ASEAN juga mengambil maklum akan potensi impak COVID-19 yang menjejaskan kerjasama ASEAN dalam tiga bidang itu serta gangguan kepada rantaian pembekalan makanan di rantau ini.

Sementara itu, para menteri juga bersetuju bahawa dengan negara terus memerangi pandemik COVID-19, mereka juga harus terus berusaha untuk memastikan rantaian pembekalan makanan terus bergerak.

Pada masa yang sama, menteri AMAF turut mengimbas kembali kenyataan Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) mengenai Pengukuhan Tindak Balas Ekonomi ASEAN Terhadap Wabak Koronavirus (COVID-19), di mana para menteri memutuskan untuk terus komited dalam menjaga pasaran terbuka ASEAN untuk perdagangan dan pelaburan.

Penjual jalanan di Vietnam memakai penutup muka dan hidung membawa jualan buah-buahan melintasi kedai yang diarahkan tutup akibat COVID-19. Menteri-menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN menggesa pengeluaran berterusan dari segi pemakanan, pertanian dan perhutanan akan terus sampai ke pasaran ASEAN semasa penularan wabak COVID-19. – AFP

Menurut AMAF lagi, wabak COVID-19 telah menarik perhatian mereka mengenai bahaya kekurangan makanan dan kesan buruknya terhadap pemakanan, disebabkan lonjakan permintaan dan gangguan dalam rantaian bekalan secara tiba-tiba di mana ASEAN harus terus berusaha untuk memastikan kestabilan dan kemapanan sumber makanan.

Di samping itu, usaha berterusan oleh setiap negara anggota ASEAN dan Badan Sektoral ASEAN dalam memantau dan mengurangkan penyebaran COVID-19, serta juga kesan sosial dan ekonominya.

Kenyataan menyatakan bahawa bagi mengatasi cabaran yang ditimbulkan oleh wabak COVID-19, dan untuk memastikan bekalan makanan yang selamat, mencukupi, berkhasiat dan boleh dimiliki yang mapan bagi memenuhi keperluan pemakanan penduduk ASEAN, AMAF bersetuju untuk menegaskan kembali komitmen menteri-menteri ASEAN dalam pelaksanaan pernyataan menteri-menteri ASEAN untuk meningkatkan teknologi penyimpanan, pemeliharaan, pengangkutan dan pengedaran dan infrastruktur untuk mengurangkan makanan yang tidak selamat, kehilangan khasiat makanan dan pembaziran serta kehilangan khasiat makanan.

Para menteri juga bersetuju untuk mengurangkan gangguan dalam rantaian bekalan makanan serantau demi memastikan pasaran sentiasa dibuka dan pengangkutan produk pertanian dan makanan dipermudahkan, di mana kuarantin atau langkah-langkah lain bukan tarif tidak menghalang atau melambatkan aliran bebas pertanian dan produk makanan di rantau berkenaan dan memastikan laluan perdagangan terus terbuka, termasuk melalui udara, laut dan darat, untuk mempermudah aliran produk pertanian dan makanan dan bagi infrastruktur kritikal seperti udara dan pelabuhan terus terbuka untuk menyokong daya maju dan kekukuhan rantaian bekalan.

AMAF juga bersetuju untuk menyelaraskan hak-hak dan obligasi di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), perjanjian meliputi Perdagangan ASEAN dalam Perjanjian Barangan (ATIGA), mengelakkan daripada mengenakan kawalan eksport baharu, sekatan dan larangan, tarif dan bukan halangan tarif serta berusaha untuk mengurangkan kejatuhan harga yang berlebihan, khususnya kenaikan harga, memastikan makanan dan rizab kecemasan yang mencukupi dan mencari maklumat pasaran tepat melalui pelaksanaan Sistem Maklumat Keselamatan Makanan ASEAN (AFSIS) dan Penyimpanan Beras Kecemasan ASEAN Plus Three (APTERR).

Pada masa sama untuk meneruskan usaha dalam menerapkan Garis Panduan ASEAN Mempromosikan Pelaburan Bertanggungjawab mengenai makanan, pertanian dan perhutanan untuk meningkatkan ketahanan, dan menyumbang pada mitigasi dan adaptasi kepada perubahan iklim, bencana alam dan sebarang kemungkinan yang tidak diduga serta lain-lain dan memperkukuhkan usaha bersama AMAF untuk menyokong, memudahkan dan melaksanakan Dasar Keselamatan Makanan ASEAN (AFSP) dan Rangka Kerja Pengawalan Keselamatan Makanan ASEAN (AFSRF) untuk memberikan arahan kepada Badan Sektoral ASEAN dan negara-negara anggota ASEAN yang relevan dengan tujuan melindungi kesihatan, memastikan amalan adil dalam perdagangan makanan dan memudahkan pergerakan bebas produk keselamatan makanan di ASEAN.

Para menteri juga menegaskan semula sokongan dalam memastikan keselamatan makanan menerusi kerjasama serantau, mengenal pasti pentingnya peningkatan penilaian risiko dalam membangunkan langkah-langkah keselamatan makanan berdasarkan bukti yang diselaraskan dengan sektor yang relevan, bekerja ke arah menjaga sekuriti khasiat dengan sektor-sektor lain yang relevan untuk menjaga akses dan penggunaan bekalan khasiat yang mencukupi untuk memastikan kehidupan yang sihat serta memperkukuhkan peranan Lembaga Penyimpanan Keselamatan Makanan ASEAN (AFSRB) supaya segera memberikan pertukaran maklumat secara berkala mengenai polisi makanan dan pertanian kebangsaan dan polisi stok serta program pengeluaran, penggunaan dan penyimpanan yang berkaitan dengan komoditi makanan asas dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Para menteri juga bersetuju untuk membuat penilaian secara berkala mengenai keadaan dan cadangan makanan di rantau ASEAN dan di seluruh negara, termasuk perdagangan, harga, kualiti dan stok komoditi makanan asas (seperti beras, jagung dan gula) melalui Lembaga Penyimpanan Keselamatan Makanan ASEAN (AFSRB) sebagai fokal utama, serta AGSIS dan APTERR dalam bersepadu dengan kumpulan-kumpulan kerja relevan (makanan, tanaman, ternakan, perikanan dan kehutanan) di bawah SOM AMAF.

Para menteri ASEAN juga turut mengalu-alukan pertukaran pandangan lanjut dan kerjasama untuk memastikan makanan, pertanian dan perhutanan ASEAN tetap kukuh semasa wabak COVID-19 dengan terus mengekalkan pengeluaran, menyokong rantaian nilai dan memastikan akses ke tenaga kerja.