Wednesday, April 24, 2024
29.7 C
Brunei

    -

    ASEAN: Ekonomi diunjur tumbuh 4.9 peratus tahun ini

    JAKARTA, 4 JULAI – Ekonomi negara-negara anggota ASEAN diunjurkan mencatat pertumbuhan  4.9 peratus tahun ini dan seterusnya 5.2 peratus pada 2023 dalam persekitaran pemberian vaksin COVID-19 yang tinggi namun kekal mencabar, menurut satu laporan.

    Keberkesanan program vaksinasi tersebut telah membolehkan pembukaan semula negara-negara anggota kesatuan terbabit, sekali gus mempercepat aktiviti ekonomi dan menyokong pemulihan pasaran pekerjaan.

    Menurut laporan Direktorat Pemantauan Integrasi ASEAN bagi Sekretariat ASEAN yang dikeluarkan baru-baru ini, kadar vaksinasi penuh mencecah 65.9 peratus daripada jumlah penduduk manakala 25.2 peratus telah mendapat suntikan penggalak masing-masing sehingga Mei tahun ini.

    Laporan Taklimat Integrasi Ekonomi ASEAN (AEIB) bagi edisi ke-11 itu menyatakan, negara-negara terbabit dijangka dibuka sepenuhnya menjelang separuh kedua tahun ini.

    Selain itu, laporan tersebut turut mengetengahkan bahawa sentimen optimis kekal ketara setakat tahun ini dengan indeks pembuatan terus mencatat momentum baik biarpun terdapat risiko varian COVID dan lonjakan harga komoditi dalam separuh pertama tahun ini.

    Ekonomi rantau tersebut tumbuh sebanyak tiga peratus pada tahun lepas daripada penguncupan sebanyak 3.2 peratus pada 2020, didorong oleh penggunaan dan perdagangan yang memberangsangkan.

    Kadar pengangguran yang melonjak ketika pandemik sebaliknya berkurangan pada 2021 manakala perdagangan berkembang sebanyak 25.1 peratus kepada AS$3.34 trilion dalam 2021 yang melepasi paras dicatatkan pada tempoh pra-pandemik.

    Pelaburan pula merekodkan pertumbuhan sebanyak 42.3 peratus kepada AS$174.1 bilion pada 2021, terutamanya dalam pembuatan, perkhidmatan kewangan dan insurans, maklumat serta komunikasi.

    Bagaimanapun, konflik di Eropah Timur telah menjejaskan pemulihan ekonomi global dan rantau ini apabila gangguan dalam rantaian nilai global menyebabkan ketidaktentuan harga, terutama bagi tenaga serta komoditi makanan.– Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...