Saturday, April 20, 2024
25 C
Brunei

    -

    ASEAN iktiraf sumbangan Mekong Institute

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – ASEAN secara rasminya menganugerahkan ASEAN Prize 2021 kepada Mekong Institute sebagai mengiktiraf sumbangan berpanjangannya kepada mempromosikan kesedaran ASEAN dan mengukuhkan kerjasama serantau ke arah pertumbuhan ekonomi dan pembangunan mampan khususnya bagi Greater Mekong subregion.

    Menurut Sekretariat ASEAN, Timbalan Perdana Menteri Kemboja dan Menteri Hal Ehwal Luar, Tuan Yang Terutama Prak Sokhonn dan Setiausaha Agung ASEAN, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Lim Jock Hoi menyampaikan piala ASEAN Prize kepada Pengarah Eksekutif Mekong Institute, Dr Suriyan Vichitlekarn semasa Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN ke-55 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan yang berlangsung di Phnom Penh, Kemboja, kelmarin.

    Disebabkan oleh sekatan COVID-19, pengumuman rasmi telah dilakukan secara berasingan semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 dan sidang-sidang kemuncak berkaitan di Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam pada 2021.

    Mekong Institute yang merupakan sebuah pusat pembangunan masyarakat dan institut penyelidikan berpusat di Khon Kaen, Thailand, juga menerima hadiah monetari sebanyak AS$20,000 yang ditaja oleh Temasek Foundation dan Yayasan Hasanah.

    Institut berkenaan yang ditubuhkan pada 1996, dikenali sebagai salah satu kuasa pemacu dalam mempromosikan dan mempercepatkan pembangunan makmur dan harmoni serantau khususnya dalam bidang pembangunan komuniti mampan serta pembangunan kapasiti.

    TYT Prak Sokhonn (kanan) menyampaikan anugerah ASEAN Prize 2021 kepada Dr Suriyan Vichitlekarn bagi Mekong Institute semasa Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN ke-55 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan yang berlangsung di Phnom Penh, Kemboja pada 3 Ogos. – Gambar oleh Sekretariat ASEAN

    Aspirasi dan komitmen berpanjangan institut berkenaan melalui penglibatan pelbagai institusi dan kerjasama merentas sektor adalah amat selaras dengan sebuah Komuniti ASEAN yang berdaya tahan, bersatu-padu dan inklusif.

    Ditadbirkan oleh Sekretariat ASEAN, ASEAN Prize merupakan anugerah unggul serantau tahunan yang mengiktiraf individu atau organisasi yang mencapai kecemerlangan dan memberi inspirasi yang berpusat di ASEAN yang menyumbang kepada usaha pembangunan komuniti secara signifikan.

    Sejak 2018, ASEAN Prize telah dianugerahkan kepada empat penerima contoh iaitu Erlinda Uy Koe, seorang pembela autisme Filipina, yang menerima anugerah pertama pada 2018 atas sumbangannya dalam memupuk sebuah Komuniti ASEAN inklusif.

    Pemimpin kemanusiaan Malaysia, Dr Jemilah Mahmood pula telah dipilih sebagai penerima anugerah pada 2019 sebagai mengiktiraf dedikasinya dalam menyediakan bantuan kemanusiaan dan keperluan kecemasan kepada penduduk yang terjejas dan terpinggir di rantau ini.

    Pada 2020, ASEAN Studies Centre of ISEAS-Yusof Ishak Institute, sebuah pusat penyelidikan serantau yang berpusat di Singapura, telah menerima anugerah itu bagi sumbangan berpanjangannya dalam mempromosi kesedaran ASEAN melalui penglibatan dan pendekatan akademik dengan pihak-pihak yang berkepentingan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...