KUALA LUMPUR, 7 April – ASEAN dan Jepun perlu bekerjsama lebih erat bagi menangani peningkatan aliran dasar perlindungan global selain mengukuhkan usaha sama ekonomi sedia ada.
Ketika membuat gesaan itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata ia juga sejajar komited berterusan ASEAN yang mengamalkan perdagangan terbuka serta mengukuhkan kerjasama ekonomi dengan Jepun.
“Aliran (dasar) perlindungan, menjuruskan kepentingan dalaman serta anti-globalisasi kini semakin ketara di beberapa kawasan dunia.
“ASEAN dan Jepun sebaliknya tidak harus tunduk kepada (tekanan) aliran ini, sebaliknya perlu bekerjasama bagi menggalakkan ekonomi terbuka, kumpulan pelbagai halal dan serantau,” katanya. Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di majlis makan tengah hari Jelajah Menteri Ekonomi ASEAN (ASEM) ke Jepun di Osaka, hari ini.
Majlis yang dihoskan oleh pertubuhan ekonomi utama Jepun, adalah bersempena acara jelajah tiga hari yang bermula semalam.
Jepun merupakan rakan dagang kedua terbesar ASEAN dan sumber kedua terbesar dari segi pelaburan langsung asing (FDI).
Perdagangan dua hala antara ASEAN dan Jepun mencecah US$239 bilion pada 2015 dan menyumbang 10.5 peratus daripada jumlah keseluruhan dagangan ASEAN.
Sementara itu, FDI daripada Jepun ke ASEAN pula berjumlah US$17.4 bilion dan mewakili 14.5 peratus daripada jumlah keseluruhan FDI ke rantau ini.
Setakat ini, lebih 10,000 perusahaan Jepun beroperasi di ASEAN yang turut menyediakan peluang pekerjaan untuk genersi muda serta menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi di setiap negara anggotanya. – Bernama