ASEAN komited pembangunan sumber manusia mampan

Oleh SIM Y. H.

ASEAN komited kepada Visi ASEAN 2025 dalam merealisasikan sebuah Komuniti ASEAN yang melibatkan serta memberikan manfaat penduduknya dan dinamik, berdaya tahan, mampan serta inklusif seperti yang termaktub dalam ASEAN Socio-Cultural Community Blueprint 2025 dan Naratif Identiti ASEAN.

Dalam hubungan itu, ASEAN mengesahkan komitmennya untuk membangunkan pendekatan berpusatkan manusia dalam mempersiapkan keupayaan pekerja-pekerja ASEAN untuk menyesuaikan diri kepada perubahan transformatif termasuk kemajuan teknologi, peralihan demografi dan peningkatan ekonomi hijau seperti yang ditekankan dalam kenyataan bersama menteri-menteri buruh ASEAN bagi masa hadapan kerja: Merangkul Teknologi bagi Pertumbuhan Mampan dan Inklusif serta juga, Deklarasi ASEAN bagi Pembangunan Sumber Manusia dalam Dunia Pekerjaan yang Berubah.

Ke arah itu, pemimpin-pemimpin ASEAN yang bersidang pada sidang Kemuncak ASEAN ke-38 yang berlangsung secara persidangan video pada 26 Oktober lalu telah bersama-sama menyokong Deklarasi ASEAN bagi Mempromosikan Daya Saing, Daya Tahan dan Ketangkasan Pekerja bagi Kerja Masa Hadapan.

Menerusi deklarasi yang dipersetujui itu, para pemimpin ASEAN mengisytiharkan komitmen mereka untuk mengambil tindakan-tindakan bagi mempromosikan daya saing, daya tahan dan ketangkasan pekerja bagi pekerjaan masa hadapan dengan mengambil kira kapasiti, sumber, undang-undang, peraturan dan dasar-dasar negara-negara anggota ASEAN.

Dalam hubungan itu, para pemimpin ASEAN menggalakkan penyelarasan sistem-sistem pensijilan profesional dan standard latihan kemahiran bagi mempercepatkan pelaksanaan pengiktirafan kemahiran dan mobiliti buruh mahir dalam ASEAN dengan mempromosikan dan menyokong rujukan Rangka Kerja Kelayakan Kebangsaan Negara-negara Aggota ASEAN kepada Rangka Kerja Rujukan Kelulusan ASEAN (AQRF) serta mekanisme dan rangka kerja-rangka kerja yang lain.

Para pemimpin ASEAN mengisytiharkan komitmen untuk mengambil tindakan-tindakan bagi mempromosikan daya saing, daya tahan dan ketangkasan pekerja bagi pekerjaan masa hadapan.
Penyertaan komuniti dan juga perniagaan swasta dalam inisiatif-inisiatif pembangunan kapasiti dan strategi inkubasi perniagaan bagi membolehkan bakat muda menjana perniagaan-perniagaan baharu serta membangunkan keusahawanan.
Penggunaan Internet of things (IOT) yang selamat dapat mempercepatkan dan memajukan latihan tenaga manusia, penjanaan pekerjaan, penempatan kerja, memajukan kerjaya, pemeriksaan buruh serta perlindungan buruh bagi memperbaiki prestasi perkhidmatan.

Para pemimpin juga menyatakan komitmen memupuk usaha bagi meningkatkan produktiviti buruh negara-negara anggota ASEAN menerusi pengukuhan langkah-langkah dasar dan pelaksanaan sebuah rangka kerja holistik dalam pengurusan produktiviti buruh yang melibatkan budaya, strategi dan pendekatan institusi.

Pada masa yang sama, mereka juga menggalakkan penyertaan komuniti dan juga perniagaan swasta dalam inisiatif-inisiatif pembangunan kapasiti dan strategi inkubasi perniagaan bagi membolehkan bakat muda termasuk mereka yang berada di kawasan pedalaman bagi menjana perniagaan-perniagaan baharu serta membangunkan keusahawanan.

Para pemimpin juga komited untuk mengukuhkan dialog sosial yang sedia ada ke arah hubungan industri yang selaras dan adil menerusi perundingan bipartit koperasi untuk mempromosikan obligasi dan hak pekerja serta majikan di tempat kerja dan konsultasi tripatit bagi berusaha untuk membangunkan dasar-dasar buruh yang betul bagi mengekalkan kerja yang baik, perniagaan mampan dan iklim ekonomi yang stabil untuk pelaburan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi yang pesat.

Para pemimpin juga komited untuk melaksanakan langkah-langlah perlindungan sosial yang mampan dan bersesuaian termasuk bantuan sosial dan sekuriti sosial bagi semua pekerja termasuk juga pekerja migran bagi memastikan hak, manfaat dan kebajikan mereka dilindungi khususnya dalam masa-masa kecemasan dan bencana selaras dengan undang-undang, peraturan dan dasar-dasar negara-negara anggota ASEAN masing-masing.

Para pemimpin ASEAN juga komited untuk menghidupkan semula peranan signifikan perkhidmatan pekerjaan awam bagi memastikan akses inklusif tenaga kerja termasuk dan tidak hanya terhad kepada wanita, belia dan mereka yang kelainan upaya, ke pasaran pekerjaan melalui pendekatan inovatif dan mekanisme perkhidmatan dalam usaha ke arah pekerjaan yang baik, mengurangkan pengangguran, keamanan dan kesepaduan sosial.

Para pemimpin juga menggalakkan penggunaan secara optimum penggunaan Internet of things (IOT) yang selamat untuk mempercepatkan dan memajukan latihan tenaga manusia, penjanaan pekerjaan, penempatan kerja, memajukan kerjaya, pemeriksaan buruh serta perlindungan buruh bagi memperbaiki prestasi perkhidmatan kerajaan bagi pekerjaan dan buruh serta juga bagi menyesuaikan diri kepada perniagaan dan sifat pekerjaan yang berubah.

Para pemimpin juga komited mempromosikan perkongsian ilmu pengetahuan, maklumat dan amalan terbaik dasar serta strategi pekerjaan dan buruh menerusi inisiatif serantau termasuk antara lain, Pusat Serantau bagi Masa Hadapan Pekerjaan (RCFW) dan Majlis Tenaga Kerja Masa Hadapan ASEAN (AFWC) untuk menyediakan kesiapsiagaan semua pekerja ASEAN bagi daya saing serantau dan global di tengah-tengah revolusi industri keempat dan dunia pekerjaan yang berubah.

Para pemimpin juga menggalakkan memupuk program dan dasar pasaran buruh adaptif sebagai maklum balas kepada gangguan berganda yang disebabkan oleh pandemik COVID-19 dan automasi dengan penglibatan sektor swasta, masyarakat sivil dan pihak-pihak yang berkepentingan lain yang relevan kepada pembinaan penyelesaian efektif melalui dan tidak hanya terhad kepada program kerjasama latihan, bantuan perniagaan dan akses pembiayaan bagi masyarakat dalam menangani situasi-situasi yang belum pernah terjadi.

Pemimpin ASEAN juga mempromosikan kerjasama dan kolaborasi rapat di kalangan negara-negara anggota ASEAN dan rakan-rakan kongsi luar, organisasi antarabangsa dan entiti antarabangsa relevan kepada memperkasakan pembangunan pekerjaan dan buruh dalam ASEAN serta meningkatkan usaha dalam menjana peluang-peluang baru bagi tindakan kolektif dan inovasi bagi membina masyarakat yang lebih berdaya tahan, inklusif dan aman dalam era pemulihan dan pasca-pandemik.

Ke arah mencapai komitmen-komitmen berkenaan, para pemimpin ASEAN menugaskan Mesyuarat Menteri-menteri Buruh ASEAN (ALMM) dengan sokongan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Buruh (SLOM) untuk merealisasikan deklarasi berkenaan melalui sebuah dokumen bimbingan dan menggerakkan sumber bagi pelaksanaannya selaras dengan undang-undang kebangsaan, peraturan dan dasar-dasar negara-negara ASEAN.