Tuesday, April 16, 2024
25.4 C
Brunei

    -

    ASEAN komited tingkatkan kualiti hidup komuniti

    Oleh Sim Y.H.

    Negara-negara anggota ASEAN terus komited dan mengalu-alukan kemajuan dalam pelaksanaan berterusan Pelan Tindakan Majlis Komuniti Sosiobudaya ASEAN (ASCC) 2025 dalam membina komuniti yang melibatkan sekali gus memberikan manfaat kepada rakyat, mapan, inklusif, berdaya tahan serta dinamik.

    Perkara itu di antara yang digariskan dalam kenyataan bersama menteri-menteri ASEAN yang bersidang semasa Mesyuarat ASCC ke-27 yang dipengerusikan oleh Menteri Pendidikan, Belia dan Sukan Kemboja, Tuan Yang Terutama Dr Hang Chuon Naron selaku pengerusi ASCC 2022 yang berlangsung secara persidangan video pada 30 Mac lalu.

    Mesyuarat itu dihadiri oleh menteri-menteri ASCC dari negara-negara anggota termasuk Negara Brunei Darussalam yang diwakili oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku Menteri Komuniti Sosiobudaya ASEAN bagi Negara Brunei Darussalam.

    Menteri-menteri ASCC yang bersidang menyatakan sokongan terhadap tema Kemboja bagi ASEAN 2022 iaitu, Addressing Challenges Together (ACT), yang menggariskan semangat kebersamaan ASEAN sebagai satu komuniti dan tujuan yang sama dalam usaha bersama menangani cabaran serantau.

    Para menteri yang bersidang juga mengalu-alukan dan memuji usaha Tunggak ASCC untuk terus meningkatkan kualiti kehidupan penduduk ASEAN di sebalik penularan COVID menerusi penyejajaran dan pelaksanaan pelan tindakan ASCC 2025.

    Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan dan menteri-menteri ASEAN semasa hadir pada Mesyuarat Majlis Komuniti Sosiobudaya ASEAN (ASCC) ke-27 yang berlangsung secara persidangan video pada 30 Mac lalu. – Gambar serahan KKBS
    Penularan pandemik telah memberikan satu pengajaran bagi ASEAN mengenai pentingnya mempromosikan pendigitalan dalam pendidikan.
    Pemerkasaan belia dan wanita amat penting bagi mendukung pembangunan mapan rantau ASEAN.
    Sukan dalam pembangunan Komuniti ASEAN juga berperanan dalam mendukung ke arah merealisasikan Matlamat ASEAN 2025 dan Matlamat Pembangunan Mapan 2030.

    Mesyuarat turut menghargai penyediaan dokumen-dokumen hasil ASCC yang akan dihadapkan kepada Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 termasuk ASEAN Regional Guidelines on Safe Reopening, Learning Recovery and Continuity di mana ia merupakan sebahagian daripada usaha kepada pemulihan peruntukan perkhidmatan pendidikan bagi kanak-kanak yang telah terganggu oleh pandemik COVID.

    Mesyuarat itu juga mengambil maklum bahawa pandemik itu telah memberikan satu pengajaran bagi ASEAN mengenai pentingnya mempromosikan pendigitalan dalam pendidikan.

    Dalam hubungan itu, mesyuarat mengalu-alukan penyediaan Deklarasi Transformasi Digital Sistem Pendidikan di serata ASEAN serta mengetengahkan bahawa usaha-usaha itu akan melengkapkan Rangka Kerja Pemulihan Komprehensif ASEAN dan Pelan Pelaksanaannya.

    Para menteri yang bersidang turut menggariskan pentingnya pemerkasaan belia dan wanita bagi mendukung pembangunan mampan rantau ASEAN serta mengalu-alukan pengesahan kenyataan pemimpin-pemimpin ASEAN bagi tahun 2022 sebagai Tahun Belia ASEAN dan ASEAN Declaration on Building More Sustainable, Inclusive and Resilient Future: Unlocking Women’s Entrepreneurship in ASEAN.

    Peranan penting sukan dalam pembangunan Komuniti ASEAN yang juga mendukung ke arah merealisasikan Matlamat ASEAN 2025 dan Matlamat Pembangunan Mapan 2030 juga diberi tumpuan. Dalam hal itu, mesyuarat mengalu-alukan penyediaan Declaration on Leveraging the Role of Sports in ASEAN Community-Building and Achieving the SDGs dan Declaration of Fostering ASEAN Identity through the Safeguarding of Traditional Sports and Games (TSG) in the Modern World.

    Mesyuarat juga mengambil maklum usaha berterusan terhadap usaha-usaha pengukuhan komitmen ASEAN dalam menangani isu-isu perubahan iklim dan mengambil maklum perbincangan yang sedang dilaksanakan terhadap inisiatif bagi menubuhkan ASEAN Centre for Climate Change (ACCC) yang dihasratkan untuk dijadikan sebagai hab pengetahuan perubahan iklim, badan pemikir dan penyelaras strategik.

    Mesyuarat juga mengalu-alukan beberapa inisiatif pengurusan bencana yang juga selaras dengan pelaksa-naan ASEAN SHIELD, termasuk penyediaan Terma Rujukan ASEAN Disaster Resilience Platform dalam memastikan pendekatan whole-of-ASEAN dalam pengurusan bencana.

    Para menteri mengukuhkan komitmen untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat ASEAN melalui kerjasama berterusan dalam bidang kesihatan, perlindungan sosial, kebudayaan dan industri kreatif.

    Sementara itu, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan dalam ucapannya menekankan pengutamaan kesiapsiagaan pasca-pandemik ASEAN terutama dalam menyediakan akses pendidikan dan platform bagi aktiviti-aktiviti sosioekonomi kepada golongan yang terjejas melalui pelaksanaan inisiatif-inisiatif sebelum ini termasuk ASEAN Comprehensive Framework on Care Economy yang disahkan semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 pada 2021.

    Peranan utama SOCA dalam memastikan penerusan komitmen-komitmen dan inisiatif-inisiatif pengerusi-pengerusi ASEAN sebelum ini terutama di bawah ASCC dan di bawah rentas sektor juga ditekankan. Justeru itu, Yang Berhormat Dato mengalu-alukan perkembangan penyediaan Strategy Playbook sebagai kesinambungan terhadap pengesahan ASEAN Strategic Policy Framework on Promoting an Adaptive Community of Greater Understanding, Tolerance and A Sense of Regional Agendas Among the Peoples of ASEAN tahun lepas. Playbook itu akan berperanan sebagai sebuah dokumen panduan dalam memupuk persefahaman dan toleransi serantau yang lebih erat dalam kalangan rakyat.

    Dalam menggariskan pentingnya isu-isu belia dalam pembangunan mampan rantau ASEAN, Yang Berhormat Dato menambah bahawa ASCC perlu terus menggalakkan belia untuk terlibat dalam masyarakat dan diperkasa sebagai agen perubahan diberikan peluang untuk bertindak dengan hala tuju, dengan semangat kekitaan ASEAN dan inisiatif-inisiatifnya dan oleh yang demikian mengalu-alukan pengisytiharan 2022 sebagai Tahun Belia ASEAN.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bot karam di Kashmir India bunuh sekurang-kurangnya 4 orang

    SRINAGAR, 16 APRIL - Sebuah bot yang membawa sekumpulan orang terbalik di sungai di Kashmir yang dikuasai India pada hari ini, menenggelamkan empat daripada...