ASEAN, Korea kongsi kerjasama pertahanan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 NOV – Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri-menteri Pertahanan ASEAN dan Republik Korea (ROK) telah diadakan buat julung kalinya di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas setelah Retreat Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) berakhir.

Menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Pertahanan hari ini, mesyuarat diadakan secara dalam talian itu dipengerusikan bersama oleh Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku pengerusi ADMM 2021 dan Menteri Pertahanan ROK, Tuan Yang Terutama Suh Wook.

Semasa tersebut, menteri-menteri pertahanan ASEAN dan ROK telah membincangkan kerjasama dalam isu-isu keselamatan bukan tradisional seperti keselamatan maritim, bantuan bencana alam, keselamatan siber dan operasi pengaman.

TYT Suh Wook juga mengongsikan pelan tindakan bagi kerjasama pertahanan di antara ROK dan ASEAN yang dialu-alukan oleh menteri-menteri pertahanan.

Menteri-menteri pertahanan ASEAN dan wakil masing-masing menyatakan penghargaan mereka kepada ROK atas komitmen yang utuh dalam platform ADMM-Plus, khususnya dalam mempengerusikan Kumpulan Kerja Pakar ADMM-Plus bersama Malaysia mengenai Keselamatan Siber bagi kitaran semasa tahun 2021-2023.

ROK telah menjalinkan hubungan dengan ASEAN sebagai rakan dialog sektor ASEAN pada1989 dan seterusnya diberikan status sebagai rakan dialog ASEAN pada 1991.

Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua bersama menteri-menteri pertahanan ASEAN semasa mesyuarat maya dengan menteri pertahanan ROK. – Gambar serahan Kementerian Pertahanan