Oleh Sim Y. H.
Berikutan dengan cabaran dan ancaman yang disebabkan oleh penularan pandemik global dan kemunculan jangkitan varian baharu, terdapat pandangan optimistik yang memberikan peluang yang unik untuk menetapkan semula ekonomi global dengan menyediakan laluan bagi masyarakat menuju ke arah pertumbuhan mampan dan inklusif.
Dalam hubungan itu, ASEAN mampu memainkan peranan penting dalam pertumbuhan global mampan kerana ia merupakan sebuah blok perdagangan dan ekonomi yang terbesar di dunia serta mempunyai kesalinghubungan dengan ekonomi besar dunia yang memberinya kelebihan yang dapat dimanfaatkan semua.
Pandangan itu dikongsi oleh Pengerusi Kumpulan Standard Chartered PLC, Jose Vinals dalam kata alu-aluannya semasa Forum Perniagaan ASEAN 2021 yang berlangsung secara maya yang dikendalikan oleh Bank Standard Chartered pada 21 dan 22 Oktober lalu.
Dalam kata alu-aluannya lagi, Vinals mengetengahkan tiga perkara penting bagi ASEAN iaitu pembangunan mampan, komuniti perniagaan dan ekonomi global khususnya peluang-peluang perdagangan dan pelaburan, pendigitalan dan kemapanan.
Menumpukan kepada peluang pelaburan dan perdagangan, beliau berkata komitmen untuk membuka perdagangan serta pelaburan dalam ASEAN dan rakan-rakan kongsi utamanya telah membolehkan rantau berkenaan untuk melaksanakan lebih banyak perniagaan merentas sempadan.
Beliau seterusnya berkata walaupun rantau berkenaan telah terkesan oleh penularan pandemik COVID-19 namun begitu perdagangan dan pelaburan dalam blok berkenaan kekal mampan pada 2020.
Vinals menerangkan bahawa ASEAN kekal menjadi destinasi pelaburan yang menarik di mana bahagian rantau berkenaan daripada segi pelaburan langsung asing telah meningkat daripada 12 peratus pada 2019 kepada 14 peratus pada 2020.
Selain daripada itu, peningkatan daya saing dan hubungan perdagangan yang saling melengkapi dengan pusat-pusat global yang lain juga menyediakan suasana yang baik bagi sebuah rangkaian rantaian bekalan yang pelbagai.
ASEAN juga telah menjadi rakan dagang terbesar bagi China mengatasi Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) di mana penandatanganan Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) merupakan bukti keinginan dan keupayaan ASEAN untuk mengekalkan aliran perdagangan yang terbuka.
“Standard Chartered mempunyai minat yang kukuh dalam perdagangan. Kami merupakan sebuah bank perdagangan global, salah satu daripada lima buah bank perdagangan yang teratas di dunia dan kepentingan ASEAN sebagai sebuah pusat perdagangan adalah amat kritikal, oleh itu, kaki melaburkan besar dalam rantau ini,” ulas Vinals lagi dalam ucapannya.
Menyentuh mengenai peningkatan pendigitalan dalam dunia pasca pandemik, Vinals berkata bahawa pendigitalan menyediakan pelbagai peluang yang baharu dan menarik di mana ia adalah bukan sahaja terhad kepada inovasi tetapi ia juga mampu untuk membantu dalam kelangsungan, kemapanan dan keterangkuman sesebuah perniagaan.
Beliau menerangkan pelanggan sedang bergerak ke dalam dunia maya pada kelajuan yang belum pernah di lihat sebelum ini di mana ia membuka peluang dan manfaat bagi rantau ASEAN khususnya kepada para usahawan dan inovator.
Kira-kira 80 peratus penduduk ASEAN dijangka akan berada di atas talian menjelang 2030 dan ekonomi digital akan menambah kira-kira AS$1 trilion kepada KDNK rantau ini.
Pada masa yang sama, ia juga akan membantu menghubungkan kira-kira 300 juta penduduk yang belum menerima perkhidmatan perbankan dan mereka yang kurang menerima perkhidmatan kewangan di dalam ASEAN untuk memasuki sistem kewangan dan e-dagang.
Dalam ucapannya lagi, Vinals menyentuh mengenai dengan kemapanan di mana kerajaan negara-negara di rantau ini memberikan penumpuan kepada memastikan kemapanan bukan sahaja daripada segi sikap pelabur korporat tetapi juga pilihan pengguna.
Ke arah itu, syarikat-syarikat dalam ASEAN yang menyelaraskan produk dan perkhidmatan mereka dengan pilihan pengguna akan meraih manfaat dan peluang yang wujud daripada pelaburan mampan.
“Dengan 100 juta orang di serata ASEAN yang dijangka akan berhijrah dari kawasan pedalaman ke bandar raya-bandar raya di antara 2015 hingga 2030, permintaan bagi infrastruktur, hartanah dan sumber tenaga yang mampan akan meningkat secara drastik.”
Vinals berkata dengan integrasi dan kesalinghubungan yang lebih baik, ia akan membantu untuk menyokong matlamat kolektif kita untuk mencapai pertumbuhan yang mampan, berdaya saing dan inklusif.
Beliau turut berkata bahawa bank mempunyai peranan yang kritikal untuk mencapai matlamat berkenaan dan ke arah itu, Standard Chartered adalah komited untuk memainkan peranannya sebagai sebuah bank yang mempunyai keberadaan di kesemua 10 buah negara ASEAN serta juga mempunyai tapak di serata Asia, Timur Tengah, Afrika, Eropah dan Amerika.
“Standard Chartered sedang bekerja rapat dengan klien, rakan kongsi dan kerajaan untuk memperkasakan lagi tiga tema utama iaitu pendigitalan perdagangan, membawa kepada rangkuman kewangan dan membentuk sebuah strategi kewangan mampan yang komprehensif.
ABF 2021 dilaksanakan selama dua hari di mana ia dibahagikan kepada tiga sesi panel perbincangan yang menumpukan pertumbuhan ekonomi digital ASEAN, peningkatan penggunaan dan kesalinghubungan dengan dunia melalui RCEP yang menawarkan prospek pertumbuhan yang luas.
Forum dua hari itu mengetengahkan ahli-ahli panel yang terdiri daripada ketua-ketua industri, penggubal dasar dan ahli pemikir mengenai bagaimana perniagaan boleh berusaha menuju ke arah masa hadapan yang berdaya tahan serta mendapatkan pandangan mengenai peluang-peluang yang unik serta luas dalam ASEAN.
Antara ahli-ahli panel bagi forum selama dua hari itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Pepsico, Asia Pasifik, Australia, New Zealand dan China, Wern-Yuen Tan; Pegawai Strategi Utama Kumpulan, Lazada, Magnus Ekborn; Pengarah Serantau, Asia Tenggara, Google Cloud, Ruma Balasubramanian; Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan ALBA, Dr Axel Schweitzer; Ketua Pegawai Alam Sekitar, Microsoft, Dr Lucas Joppa; Ketua Strategi COP26 Asia Tenggara, Suruhanjaya Tinggi British, Dr Isabelle de Lovinfosse; serta Naib Pengerusi, ASEAN dan Pesuruhjaya Presiden, Indonesia, Standard Chartered, Rion Donosepoetro.
Sesi panel pertama forum yang membawa tajuk, Catalysing ASEAN Connectivity, membincangkan mengenai dengan usaha pemulihan daripada pandemik COVID-19 dan usaha untuk meningkatkan kesalinghubungan di antara rantau dan negara. Ia juga menyentuh mengenai transformasi digital, perdagangan dan matlamat kemapanan dalam konteks ASEAN.
Sesi panel kedua yang membawa tajuk, The Digital Pivot membincangkan mengenai bagaimana pandemik COVID-19 telah memacu dan mempercepatkan peralihan digital dengan transformasi digital dan inovasi menjadi norma baharu ekonomi. Ia juga membincangkan mengenai peluang-peluang bagi pertumbuhan dan bagaimana perniagaan melaksanakan inovasi secara bijak.
Manakala itu, sesi panel ketiga yang membawa tajuk, Is There an ASEAN Way to Sustainability?, membincangkan mengenai bagaimana syarikat-syarikat di rantau berkenaan perlu untuk mengambil tindakan segera dan drastik dalam menangani masalah perubahan iklim dengan negara-negara di rantau ASEAN merupakan antara yang terdedah. Perbincangan juga menggariskan usaha untuk membina masa hadapan yang mampan dan lebih berdaya tahan bagi ASEAN.