ASEAN perlu bekerjasama bendung koronavirus

BANGKOK, 6 FEB – Negara anggota ASEAN perlu berkongsi maklumat di samping meningkatkan jalinan kerjasama bagi membendung penularan Koronavirus Novel 2019 (2019 nCoV) di rantau ini, kata Perdana Menteri Jen Prayuth Chan o-cha hari ini.

Prayuth yang mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo berkata, beliau bersetuju dengan presiden itu bahawa pertukaran maklumat dan kerjasama erat menerusi saluran sedia ada antara negara anggota ASEAN adalah penting bagi membendung penularan koronavirus.

“Thailand bersedia untuk membantu dan menyokong Indonesia dan anggota ASEAN yang lain dalam apa juga cara yang boleh,” katanya dalam akaun twitter rasminya hari ini.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, yang juga Menteri Kesihatan Kesihatan Awam, Anutin Charnvirakul berkata, Thailand bersedia untuk berkongsi pengalaman dan rawatan bagi merawat kes teruk koronavirus.

“Kita tidak pernah menyembunyikan maklumat. Kami percaya dengan berkongsi maklumat akan membawa kepada keberkesanan bagi mengawal penularan dan malahan memperbaiki rawatan,” katanya semasa taklimat hariannya di sini, hari ini.

Terdahulu minggu ini, dua doktor dari Hospital Rajavithi di Bangkok berkata, mereka menemui satu pendekatan baharu – kombinasi perubatan selesema dan HIV membawa kepada penambahbaikan 48 jam selepas dirawat. – Bernama