Thursday, April 18, 2024
25.3 C
Brunei

    -

    ASEAN perlu ganda usaha

    Gambar oleh Infofoto

    PHNOM PENH, KEMBOJA, 11 NOV – ASEAN yang telah menghasilkan pelbagai pencapaian dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan di rantau ini selama lebih 55 tahun perlu terus menggandakan usaha untuk memajukan proses pembangunan komuniti.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan perkara tersebut semasa berkenan mengurniakan titah pada Sesi Pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 yang berlangsung di Hotel Sokha Phnom Penh, Kemboja, hari ini.

    Berangkat mengiringi Baginda ke Majlis Pembukaan Sidang-sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan; Sesi Pleno Sidang Kemuncak ke-40; dan Sesi Retreat Sidang Kemuncak ke-41 ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya menekankan daya saing dan kedayatahanan ASEAN akan dapat dipertahankan jika anggota itu memanfaatkan pelbagai peluang seperti transformasi digital dan usaha berterusan dalam melaksanakan dan menaiktarafkan perjanjian-perjanjian perdagangan bebas.

    Baginda juga menyambut baik pelancaran ASEAN Junior Fellowship Programme pada bulan Ogos 2021, yang mana program itu dapat melengkapkan para belia ASEAN dengan ilmu pengetahuan mengenai mekanisme dalaman ASEAN dan memupuk hubungan baik sesama mereka.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan berangkat ke Sesi Pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-40.
    Baginda Sultan berkenan bergambar bersama TYT Samdech Akka Moha Sena Padei Techo Hun Sen pada Sidang-sidang Kemuncak ke-40 dan ke-41 serta sidang-sidang kemuncak berkaitan. Berangkat sama ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    Ke arah membina masyarakat yang bersepadu dan inklusif, Baginda menzahirkan sokongan terhadap keahlian Timor-Leste dalam ASEAN serta bagi negara berkenaan untuk menjadi negara pemerhati buat sementara waktu ini, sehingga syarat-syarat keahlian dimuktamadkan nanti.

    ASEAN, tambah Baginda, kini terlibat dalam salah satu usaha penting melalui proses post-2025 visioning, di mana Negara Brunei Darussalam mengutamakan ASEAN dengan mempunyai hubungan kejiranan yang mesra dan kukuh serta persahabatan dan kerjasama yang lebih rapat.

    Dalam proses ini, keseimbangan pragmatisme dan aspirasi adalah diperlukan bagi memastikan ASEAN terus stabil dan progresif dan pada masa yang sama mengekalkan identitinya.

    Baginda juga menegaskan ASEAN perlu mengukuhkan kapasiti institusi dan keberkesanan bagi memastikan ia dapat memanfaatkan nilai strategik serta mengharungi cabaran dan meraih peluang dengan cekap.

    Pada mengakhiri titah, Baginda menzahirkan penghargaan kepada Setiausaha Agung ASEAN, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Lim Jock Hoi terhadap sumbangan berharga beliau kepada ASEAN selama lima tahun ini.

    Baginda seterusnya menyampaikan sokongan kepada Dr Kao Kim Hourn dari kerajaan Kemboja sebagai bakal Setiausaha Agung ASEAN yang seterusnya.

    Terdahulu, keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah dialu-alukan oleh Perdana Menteri Kemboja, Tuan Yang Terutama Samdech Akka Moha Sena Padei Techo Hun Sen.

    Majlis pembukaan sidang-sidang kemuncak yang turut dihadiri oleh ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN itu dimulakan dengan lagu tema ASEAN, The ASEAN Way, diikuti dengan persembahan kebudayaan dan ucapan pembukaan daripada TYT Perdana Menteri Kemboja selaku Pengerusi ASEAN tahun ini.

    Selesai majlis pembukaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan para pemimpin ASEAN lainnya menyaksikan Pameran Gambar mengenai sumbangan Kemboja kepada ASEAN.

    Keberangkatan Baginda ke sidang-sidang kemuncak ASEAN di Phnom Penh itu memberi peluang yang signifikan untuk mengesahkan semula hubungan akrab Baginda bersama para pemimpin lainnya serta bagi meneruskan perbincangan ke arah mengukuhkan lagi kerjasama serantau.

    Sebelum itu, TYT Perdana Menteri Kemboja dalam ucapannya turut menggariskan kepentingan kerjasama ASEAN secara berpadu dalam menangani cabaran-cabaran yang sedia ada dan yang akan muncul nanti.

    Ini termasuk menekankan semula komitmen Kemboja terhadap usaha-usaha pembangunan Komuniti ASEAN yang akan menuju ke arah mencapai keamanan, kestabilan, keselamatan dan pembangunan mampan.

    Semasa sesi pleno itu, para pemimpin mendengarkan laporan daripada TYT Dato Paduka Lim Jock Hoi, yang mengongsikan pencapaian ASEAN untuk sama-sama pulih daripada pandemik COVID-19 melalui pertumbuhan ekonomi yang signifikan di tahap 5.1 peratus; menaik taraf perjanjian-perjanjian perdagangan utama bersama rakan-rakan dialog serta penandatanganan perjanjian ASEAN-European Union (EU) Comprehensive Air Transport Agreement.

    Para pemimpin ASEAN juga telah membincangkan kepentingan perpaduan bagi memastikan ASEAN bertindak balas terhadap cabaran-cabaran umum dan seterusnya meningkatkan kerjasama dalam bidang-bidang seperti keselamatan makanan, tenaga dan pembangunan digital.

    Pada penghujung sesi pleno itu, Kenyataan Visi Pemimpin ASEAN ke atas ASEAN A.C.T: Menangani Cabaran Bersama; Kenyataan Pemimpin-pemimpin ASEAN sempena Ulang Tahun ASEAN ke-55; dan Kenyataan Pemimpin-pemimpin ASEAN berhubung Agenda Lanjutan Kesalinganhubungan 2025 ASEAN serta Kenyataan Pemimpin-pemimpin ASEAN berhubung Permohonan Timor-Leste bagi Keahlian ASEAN telah diluluskan.

    Sesi Retreat Sidang Kemuncak ASEAN ke-41

    Selesai sesi pleno berkenaan, Baginda Sultan turut mengurniakan titah bahawa ASEAN, masih lagi dapat bekerjasama dengan rakan-rakannya serta mencari peluang-peluang untuk meningkatkan kerjasama, walaupun ASEAN telah menghadapi cabaran-cabaran akibat kesan-kesan pelbagai dimensi daripada pandemik COVID-19.

    Baginda juga menegaskan, ketegangan geopolitik yang semakin meningkat akan mengancam kemajuan usaha-usaha ASEAN, termasuk keselamatan makanan dan tenaga.

    Oleh itu, ianya penting untuk menggalakkan hubungan yang stabil dan konstruktif dalam kalangan rakan-rakan ASEAN untuk bertindak balas terhadap cabaran ini.

    Dalam perkara ini, penglibatan dan kerjasama di antara ASEAN dan rakan-rakannya adalah digalakkan, yang mana ianya akan menunjukkan komitmen ASEAN terhadap arkitektur serantau yang terbuka dan inklusif serta menegakkan kesepaduan ASEAN.

    Oleh itu, Baginda menzahirkan sokongan terhadap Kenyataan Pemimpin-pemimpin ASEAN sempena Ulang Tahun ASEAN ke-55, yang menyeru agar ASEAN sentiasa inklusif dan maju melalui kesepaduan yang kukuh ketika bekerjasama dengan rakan-rakan luar.

    Semasa sesi retreat itu, Baginda dan para pemimpin ASEAN, antara lainnya mengesahkan semula bahawa Myanmar kekal menjadi sebahagian daripada ASEAN yang penting.

    Oleh itu, Konsensus Lima Perkara yang dipersetujui oleh para pemimpin semasa Negara Brunei Darussalam menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun 2021 kekal menjadi rujukan yang sah dan perlu dilaksanakan dengan sepenuhnya.

    Para pemimpin juga telah membincangkan mengenai hubungan luar dan hala tuju ASEAN pada masa hadapan, serta bertukar-tukar pandangan tentang isu-isu serantau dan antarabangsa.

     

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gempa bumi 6.3 magnitud di Jepun cederakan 8 orang

    TOKYO, 18 APRIL – Lapan orang dilaporkan cedera hari ini selepas gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda barat daya Jepun, tetapi tiada kerosakan besar...