Saturday, December 7, 2024
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    ASEAN perlu manfaatkan teknologi tangani COVID-19

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OKT – Sektor kebudayaan, kesenian dan industri kreatif tidak terkecuali daripada kesan pandemik COVID-19 dan ini mendorong ASEAN untuk terus menyesuaikan keadaan kepada situasi dengan menerima norma-norma baru dan memanfaatkan teknologi dengan lebih bersepadu dalam usaha menanganinya.

    Perkara tersebut diketengahkan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin semasa menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN yang Bertanggungjawab bagi Kebudayaan dan Kesenian (AMCA) ke-9 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan dengan rakan dialog, yang diadakan melalui sidang video kelmarin.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), di sini, mesyuarat berkenaan telah dipengerusikan oleh Menteri Kebudayaan dan Kesenian, Kemboja, Puan Yang Terutama Dr Phoeurng Sackona dan dihadiri oleh menteri-menteri ASEAN dan rakan dialog ASEAN (Republik Rakyat China, Jepun dan Republik Korea) yang bertanggungjawab mengenai kebudayaan dan kesenian serta setiausaha agung ASEAN.

    Semasa mesyuarat itu, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan telah mengongsikan inisiatif yang dilaksanakan oleh Negara Brunei Darussalam secara seluruh negara, dalam beberapa aspek termasuk usaha-usaha kerajaan mengurangkan jangkitan di tempat awam melalui penutupan muzium-muzium, galeri-galeri dan perpustakaan. Selain itu, beliau juga mengongsikan usaha oleh sektor kreatif untuk meningkatkan kesedaran awam dan mendorong sokongan masyarakat terhadap petugas barisan depan dan langkah-langkah kesihatan awam melalui kempen media sosial, lagu dan video, dan disebarkan melalui penggunaan hashtag #bruneicovid dan #teranahdirumah.

    Pada masa yang sama, kemampuan sektor kreatif dalam menyesuaikan diri dengan norma-norma baharu dalam penyampaian perkhidmatan maya juga dinyatakan, di mana mereka telah mengoptimumkan teknologi baharu untuk memastikan kesinambungan perniagaan melalui platform e-perpustakaan dan e-pameran, dan kenaikan e-perdagangan, e-persembahan dan latihan dalam talian, usahawan digital, dan media baru.

    Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan semasa menghadiri mesyuarat tersebut melalui persidangan video.- Gambar oleh KKBS

    Menurut kenyataan KKBS, Mesyuarat AMCA ke-9 yang bertemakan Impact of COVID-19 and Way Forward for the Culture and Arts Sector bersetuju meneruskan usaha-usaha ASEAN dalam menangani kesan pandemik COVID-19, terutama sekali ter- hadap amal berbudaya, industri kebudayaan dan industri kreatif. Para menteri juga bersetuju untuk meneruskan kerjasama dalam bidang kebudayaan dan kesenian.

    Para menteri AMCA telah mengeluarkan kenyataan bersama yang antara lain menyatakan sokongan dan komitmen bagi mempromosi Narrative of ASEAN Identity untuk dihadapkan kepada ketua-ketua negara ASEAN dalam Sidang Kemuncak ke-37 nanti. Naratif ini bertujuan mengukuhkan ASEAN sebagai satu komuniti dengan mengambil kira nilai-nilai kebersamaan yang diwarisi (inherited values) dan yang dibina bersama (constructed values).

    Dalam mesyuarat bersama rakan dialog, para menteri menyatakan penghargaan terhadap pelaksanaan pelan-pelan tindakan masing-masing dan menekankan kepentingan kerjasama dalam bidang pertukaran kebudayaan, pengurusan warisan budaya dan pembangunan sumber manusia.

    Para menteri mengambil maklum penubuhan jaringan kota-kota kebudayaan ASEAN+3 sebagai asas kepada kerjasama berpanjangan ASEAN+3.

    Dalam mesyuarat itu juga, Bandar Raya Seam Reap telah diisytiharkan sebagai Bandar Raya Kebudayaan ASEAN 2020-2022.

    Mesyuarat didahului dengan Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan yang Bertanggungjawab bagi Kebudayaan dan Kesenian dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan dengan rakan dialog.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda