CYBERJAYA, 22 APRIL – Kemunculan perkongsian perdagangan baharu dalam kalangan blok ekonomi adalah penting untuk menegakkan kedaulatan undang-undang dan mengekalkan perdagangan antarabangsa yang teratur terutamanya ketika berdepan dengan cabaran global, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.
Beliau berkata dalam konteks itu, ASEAN memainkan peranan penting dengan sumbangan ekonomi yang besar serta penglibatan strategiknya.
Chang berkata memandangkan perubahan dinamik perdagangan global sedang berlaku, ASEAN dan negara-negara anggotanya memiliki peluang unik untuk memperkukuh kerjasama serantau, mempelbagaikan rakan dagang, menggalakkan perdagangan intra-ASEAN, melabur dalam inovasi serta memperkukuh diplomasi melalui sains dan teknologi.
“Usaha ini, bersama seperti Tahun Pemula Niaga ASEAN 2025, akan membantu mengurangkan potensi kesan gangguan perdagangan dan memupuk hubungan perdagangan yang stabil serta saling menguntungkan rakan-rakan global,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Persidangan Mikro-MyStartup NXT 2025 yang dianjurkan oleh Cradle Fund Sdn Bhd, sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sempena pelancaran Tahun Pemula Niaga ASEAN 2025.
Diumumkan pertama kalinya pada Disember 2024, inisiatif Tahun Pemula Niaga ASEAN 2025 menandakan satu lembaran baharu dalam evolusi ASEAN sebagai blok inovasi yang berpengaruh di peringkat global.
Chang berkata Tahun Pemula Niaga ASEAN 2025 bukanlah satu permulaan – ia adalah gelombang seterusnya daripada perjalanan yang telah dimulakan oleh kementerian sejak 2024. Malaysia telah menyediakan asas untuk memperkasa usahawan, menghubungkan ekosistem dan memperkukuh daya tahan ekonomi ASEAN melalui inovasi. – Bernama
